ADB Bakal Agih US$30 Bilion Menjelang 2030 Bagi Menyokong Negara ASEAN
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) hari ini akan mengagihkan sebanyak US$30 bilion (US$1 = RM3.91) menjelang 2030 untuk membantu negara ASEAN memajukan keutamaan jangka panjang dan menahan kejutan luaran.
Menurut bank itu dalam satu kenyataan, pakej kewangan itu akan menyasarkan lima inisiatif utama serantau, termasuk US$6 bilion untuk meningkatkan pasaran modal dan US$5 bilion bagi mempercepatkan Grid Kuasa ASEAN.
Ia merupakan sebahagian daripada sokongan ADB yang diumumkan sebelum ini iaitu sehingga US$10 bilion untuk grid itu sehingga 2035.
Katanya, ia turut menggerakkan pelaburan bagi meningkatkan kesediaan kecerdasan buatan, memperjuangkan ekonomi biru, dan memperkukuh aliran daya tahan.
Presiden ADB Masato Kanda berkata ASEAN mempunyai keutamaan yang jelas dan kukuh, tetapi cabarannya ketika ini adalah penyampaian, terutamanya ketika rantau ini berdepan dengan krisis yang semakin meruncing, daripada ketidaktentuan geopolitik kepada kejutan ekonomi.
“Sebagai bank utama di rantau ini, ADB menyalurkan pembiayaan, kepakaran dan saluran pelaburan sektor awam serta swasta bernilai US$30 bilion untuk menyokong secara langsung keutamaan ASEAN dan memberikan manfaat yang berkekalan kepada rakyat di seluruh rantau ini,” katanya ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina.
Kanda turut mengulas mengenai usaha mengatasi gangguan ekonomi global yang berkaitan dengan konflik di Asia Barat, serta menyatakan kesediaan ADB untuk membantu rantau ini bertindak balas terhadap limpahan yang memberi kesan kepada rantaian bekalan.
“Bagi menstabilkan ekonomi di bawah tekanan fiskal, ADB menyediakan sokongan bajet dengan pantas dan telah mengaktifkan semula sokongan sektor swasta sementara untuk import minyak melalui Program Pembiayaan Perdagangan dan Rantaian Bekalannya," katanya.
-- BERNAMA
