NCER Pacu Pelaburan Bernilai Tinggi Melalui Pembangunan Sempadan Malaysia-Thailand

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan - Kredit: NCIA
28/05/2026 01:57 PM

KANGAR, 28 Mei (Bernama) -- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedang mempergiat pembangunan strategik kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi menarik pelaburan bernilai tinggi sekali gus memperkukuh kedudukan wilayah utara sebagai hab baharu rantaian bekalan global berteraskan strategi China Plus One.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata pembangunan bersepadu melibatkan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Kedah Rubber City (KRC) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dirangka untuk memanfaatkan peralihan sektor pembuatan global ke rantau ASEAN.

Mohamad Haris berkata NCER menawarkan kelebihan menerusi gabungan keterhubungan logistik rentas sempadan, kemudahan perdagangan, tenaga boleh baharu yang mematuhi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta akses terus ke pasaran ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta penduduk.

Kredit: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA)

“Strategi China Plus One bukan aliran sementara sebaliknya penjajaran semula struktur rantaian bekalan global. Kerangka Pelaburan Baharu NCER pula memberi tumpuan kepada pelaburan berteknologi tinggi dan penciptaan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu antara pencapaian awal termasuk kemasukan pengeluar global Jabil ke CVIA tahun lepas selain operasi awal PIP yang kini meningkatkan kapasiti pengendalian logistik secara progresif sepanjang tahun ini bagi mempercepat pergerakan dagangan rentas sempadan ASEAN melalui Padang Besar.

Mohamad Haris berkata KRC pula merekodkan pelaburan kumulatif RM2.6 bilion selama 15 tahun daripada Prinx Tire bagi pembangunan kilang pembuatan tayar pintar dan mesra alam dengan operasi awal dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

Kredit: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA)

Menurutnya KSTP yang dijangka siap pada Disember tahun ini pula diunjur menarik pelaburan RM12.9 bilion selain mewujudkan 23,244 peluang pekerjaan bernilai tinggi apabila beroperasi sepenuhnya kelak.

-- BERNAMA