Hegseth Puji Malaysia, ASEAN Kongsi Beban Untuk Pelihara Kestabilan Serantau

Pete Hegseth - Kredit: Reuters
30/05/2026 11:37 AM

Daripada Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 30 Mei (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Malaysia yang segera bertindak mengerahkan pasukan pemerhati ASEAN ke sempadan Thailand-Kemboja, menyifatkan misi itu sebagai sumbangan penting kepada keamanan serantau dan usaha perkongsian beban di Asia Tenggara.

Bercakap pada Dialog Shangri-La (SLD) IISS ke-23, Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth memuji Malaysia dan blok serantau itu kerana mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan ketegangan dan menyokong diplomasi, berkata penempatan (pasukan pemerhati) itu mencerminkan komitmen rantau ini dalam mengekalkan keselamatan menerusi tindakan kolektif.

“Negara-negara di rantau ini melangkah ke hadapan untuk memelihara keamanan, mengurangkan ketegangan dan menyokong diplomasi dengan keupayaan yang boleh dipercayai.

"Saya memuji Malaysia dan ASEAN atas usaha mereka menyokong perjanjian damai bersejarah Presiden Donald Trump," katanya semasa berucap pada "Strategi Keamanan Amerika Syarikat di Indo-Pasifik" pada Sabtu.

Pada Oktober 2025, Thailand dan Kemboja menandatangani perjanjian damai yang dikenali sebagai "Perjanjian Damai KL” di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu, yang ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN dan Trump.

Sementara itu, Hegseth berkata AS memerhatikan rakan kerjasamanya, khususnya di Asia Tenggara, meningkatkan usaha untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan serantau.

Beliau menyatakan Singapura secara konsisten menjangkaui jangkaan dengan banyak melabur dalam ketenteraannya dan berfungsi sebagai hab penting untuk aktiviti logistik AS dan penempatan bergilir.

Indonesia juga sedang mengorak langkah besar dalam memodenkan angkatan tenteranya dan meluaskan skala latihan ketenteraan dengan AS, mengukuhkan kesalingoperasian dan memperkukuh kestabilan serantau, katanya.

"Thailand terus memperdalam kerjasama ketenteraan dengan AS untuk meningkatkan kesalingoperasian dan membangunkan kesediaan yang diperlukan.

"Kami juga melihat keseriusan tujuan yang sama daripada Vietnam," tambahnya.

-- BERNAMA