Raja Perlis Rasmi Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - PIP

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (dua, kanan) pada majlis perasmian sempena Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di sini hari ini.
30/05/2026 03:42 PM

PADANG BESAR, 30 Mei (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di sini hari ini.

Raja Perlis bertitah pembangunan PIP sebagai zon perdagangan bebas, bukan sekadar simbol pembangunan fizikal, malah ia merupakan langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Perlis dan Malaysia sebagai pintu masuk perdagangan serta logistik serantau, berpaksikan pengangkutan darat intra-Asia khususnya jajaran rel Pan Asia.

“Saya yakin zon perdagangan bebas ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu, membuka peluang pelaburan, memperkukuh perdagangan rentas sempadan serta merancakkan sektor logistik dan perindustrian di utara Semenanjung Malaysia, seterusnya menyumbang kepada peningkatan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan Perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di sini hari ini. Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama Menteri Pengangkutan Anthony Loke (dua, kiri) dan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah (tiga, kiri). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Dengan kedudukan strategik Negeri Perlis yang bersempadan dengan Thailand dan berada di laluan penting perdagangan ASEAN, saya menyarankan agar Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian serta melaksanakan pelaburan strategik bagi memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini,” titah baginda sempena perasmian zon perdagangan bebas itu.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda memperkenankan nama baginda digunakan sebagai simbolik zon perdagangan bebas itu dan berharap ia terus berkembang sebagai pusat logistik serta perdagangan moden, yang mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia dengan negara jiran dan rakan dagang antarabangsa.

“Pembangunan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor perdagangan dan industri berskala besar, malah turut membawa limpahan ekonomi kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta membuka minda generasi muda terhadap potensi besar pasaran global,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah jika negara-negara maju dikenali sebagai pusat perdagangan antarabangsa, maka baginda yakin Perlis juga berpotensi muncul sebagai pintu gerbang perdagangan utama ASEAN, berdasarkan kedudukannya di titik pertemuan Koridor Rel Daratan Intra-Asia dan Koridor Maritim Selat Melaka.

“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pelabur-pelabur serta agensi pembangunan dan pemain industri, saya yakin visi ini mampu direalisasikan,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin juga menyeru semua pihak mengamalkan sikap amanah, rajin dan profesional dalam pengurusan supaya negeri itu diyakini sebagai “trading hub” pilihan pelabur dan usahawan antarabangsa.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Mutiara Perlis Sdn Bhd, Kerajaan Negeri Perlis, Kementerian Ekonomi khususnya Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Kementerian Pengangkutan serta semua pihak yang terlibat dalam pembangunan PIP. Komitmen dan kerjasama erat semua pihak telah menjadikan pembangunan strategik ini satu kenyataan,” titah baginda.

-- BERNAMA