Malaysia Berpotensi Muncul Sebagai Negara Rel Utama ASEAN - Hasbi

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah (tiga, kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Naib Presiden (R&D dan Pengkomersilan) Universiti Tunku Abdul Rahman Prof Dr Zuraidah Abd Manaf (dua kiri) dan Pengurus Besar Akademi Kereta Api Malaysia Jamil Nan (kanan) pada Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026, di sini, hari ini.
08/06/2026 03:21 PM

GEORGE TOWN, 8 Jun (Bernama) -- Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk muncul sebagai negara rel utama di ASEAN melalui kerjasama kukuh, pelaburan strategik, kemajuan teknologi dan pembangunan bakat yang berterusan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata agenda rel negara, yang berpandukan kepada Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 dan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kekal menumpukan kepada pembinaan ekosistem pengangkutan yang cekap, bersepadu, mampan dan berdaya tahan.

"(sektor) Rel memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, memudahkan perdagangan dan logistik, meningkatkan mobiliti bandar dan menghubungkan komuniti di seluruh negara," katanya ketika merasmikan Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026, di sini, hari ini.

Hasbi berkata agenda Road to Rail kerajaan bertujuan untuk meningkatkan bahagian rel dalam pengangkutan penumpang dan barang bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih seimbang dan mampan, membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, meningkatkan kecekapan logistik dan memperkukuh daya saing ekonomi jangka panjang negara.

Katanya, kerajaan terus komited terhadap pembangunan rel seperti yang diceminkan menerusi pembinaan beberapa projek utama yang sedang dibangunkan termasuk LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

"LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang akan mengubah mobiliti bandar di negeri ini dan menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan, manakala ECRL akan memperkukuh hubungan antara pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia, membuka peluang baharu untuk perdagangan, logistik dan pelaburan.

"Laluan RTS akan meningkatkan mobiliti rentas sempadan dengan ketara dan menambah baik ketersambungan antara Malaysia dan Singapura," katanya.

Hasbi berkata projek itu menunjukkan bagaimana infrastruktur rel bukan sahaja berfungsi sebagai penyelesaian pengangkutan tetapi juga sebagai pemangkin untuk transformasi ekonomi dan pembangunan wilayah.

Katanya, Kementerian Pengangkutan kekal komited untuk memperkukuh industri rel Malaysia melalui inisiatif penyetempatan, pemindahan teknologi, kerjasama penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Dalam hal ini, beliau berkata penubuhan Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE), yang diterajui Perbadanan Pembangunan Rel Malaysia (MRDC), akan berfungsi sebagai platform untuk pembangunan industri, pemupukan bakat, penyelidikan, inovasi dan peningkatan keupayaan merentasi rantaian nilai rel.

Mengenai forum IRTF 2026, beliau berkata ia menyediakan platform penting untuk pihak berkepentingan bertukar idea, berkongsi amalan terbaik dan meneroka peluang baharu untuk kerjasama dan inovasi.

Forum itu yang bertemakan "The Great Shift: Paving the Road to Rail Excellence" disertai pemain industri, pembuat dasar, ahli akademik dan pakar untuk membincangkan masa depan pengangkutan rel dan pembangunan industri.

-- BERNAMA