IPPTAR Berpotensi Jadi Pusat Kecemerlangan Latihan Komunikasi Serantau - Abdul Halim
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) berpotensi muncul sebagai pusat kecemerlangan latihan komunikasi, penyiaran dan penerangan bertaraf serantau menerusi pengukuhan ekosistem pembelajaran, kerjasama strategik serta pembangunan bakat dalam bidang media dan teknologi baharu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata langkah itu penting ketika industri komunikasi dan media sedang berdepan perubahan pesat susulan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI), realiti maya, penghasilan kandungan digital serta platform media baharu.
“Aspirasi kita adalah untuk memperteguh ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik, memperluas kerjasama strategik dengan institusi tempatan dan antarabangsa serta melahirkan bakat yang mampu menerajui industri media digital, penyiaran dan komunikasi strategik pada era teknologi baharu,” katanya pada perasmian Hari IPPTAR 2026, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Datuk Aminurrahim Mohamed, Pengarah IPPTAR Datuk Roslan Ariffin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak.
Abdul Halim berkata sepanjang 55 tahun penubuhannya, IPPTAR telah memainkan peranan penting sebagai pusat latihan utama yang menyokong agenda komunikasi kerajaan menerusi pembangunan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi.
Selain itu, beliau berkata IPPTAR juga telah berevolusi daripada sebuah institut latihan penyiaran yang menyediakan latihan teknikal, khusus kepada Jabatan Penyiaran Malaysia kepada institusi latihan yang turut memberi tumpuan kepada bidang komunikasi strategik bagi Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) di bawah Kementerian Komunikasi.
Beliau berkata kecemerlangan IPPTAR turut menarik minat negara seperti Kemboja dan Timor-Leste untuk menjalinkan kerjasama latihan secara strategik, sekali gus membuktikan kedudukannya sebagai institusi rujukan di peringkat ASEAN.
Abdul Halim berkata kerjasama strategik bersama Asia-Pacific Institute for Broadcasting Development (AIBD) dan Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) juga memperkukuh kedudukan IPPTAR di peringkat serantau.
Hari IPPTAR 2026 mendapat sokongan daripada 19 agensi kerajaan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), JAPEN, Bernama, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan MyCreative Ventures.
Program tersebut bertujuan memperkukuh peranan IPPTAR sebagai institut pembangunan profesionalisme industri komunikasi dan penyiaran negara, dengan tema “Terus Cemerlang” diangkat sebagai simbol perjalanannya selama lima dekad sebagai institut latihan awam yang melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang penyiaran, komunikasi strategik serta pengurusan media.
-- BERNAMA
