Forum Ekonomi St. Petersburg Jadi Platform Bentuk Pendekatan Baharu Kerjasama

Bendera yang memaparkan logo Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) berkibar di hadapan Muzium State Hermitage menjelang pembukaan forum itu di Saint Petersburg, Rusia, pada 2 Jun 2026. REUTERS/Anastasia Barashkova
03/06/2026 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) ke-29 yang berlangsung dari 3 hingga 6 Jun di St. Petersburg, Rusia, berfungsi sebagai platform untuk membentuk pendekatan baharu terhadap kerjasama menerusi tema utama “Dialog Pragmatik: Laluan ke Arah Masa Depan Stabil”.

Penasihat kepada Presiden Rusia merangkap Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Penganjur SPIEF, Anton Kobyakov berkata dialog pragmatik bertujuan mencari penyelesaian yang mampu menjamin pembangunan mampan dalam era transformasi global amat penting, lapor TV BRICS.

“Forum ini secara tradisinya menjadi platform untuk membentuk pendekatan baharu dalam kerjasama serta melancarkan inisiatif yang menentukan agenda ekonomi bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Direktorat Kerjasama Antarabangsa dan Serantau Yayasan Roscongress, Aleksandra Ogneva berkata program acara di Kawasan Kerjasama Antarabangsa Roscongress pada tahun ini mencapai tahap baharu yang lebih signifikan.

“Setiap acara di sini tertumpu kepada hasil yang konkrit, iaitu mencari rakan kongsi, melancarkan projek bersama dan memuktamadkan urus niaga.

“Kami sengaja menghimpunkan pelbagai bidang tema dan memastikan liputan geografi yang luas. Semua ini adalah respons terhadap tuntutan sebenar perniagaan antarabangsa yang bukan sahaja mahu membincangkan masalah, tetapi juga mencari penyelesaian,” katanya.

Wakil dari lebih 130 negara dan wilayah telah mengesahkan penyertaan termasuk ketua badan kerajaan, organisasi antarabangsa serta komuniti perniagaan, pakar dan akademik.

Program itu merangkumi lebih 150 sesi yang disusun mengikut tema meliputi ekonomi global dan Rusia, kepimpinan teknologi, agenda sosial serta pembangunan persekitaran hidup.

Tumpuan khusus akan diberikan kepada format dialog praktikal, termasuk termasuk sesi perbincangan perniagaan pada waktu sarapan dan dialog perniagaan antarabangsa yang melibatkan negara serta rantau utama seperti Brazil, India, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, negara-negara Afrika dan Amerika Latin, negara Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), serta Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Program itu turut menampilkan pelbagai acara bertema termasuk Forum Business 20, Forum Perusahaan Kecil dan Sederhana Rusia (Forum SME), Forum Perniagaan SCO, Forum Perniagaan BRICS, Forum Ekonomi Belia Antarabangsa “Hari Masa Depan”, Forum Industri Kreatif dan Forum “Keselamatan Perubatan”.

Di Kawasan Kerjasama Antarabangsa Roscongress sempena SPIEF 2026, pelbagai dialog bertema, pembentangan, mesyuarat perniagaan ke perniagaan (B2B) antarabangsa mengikut sektor serta acara yang memberi tumpuan kepada peranan seni, budaya dan pendidikan dalam memperkukuh kerjasama akan diadakan.

-- BERNAMA