ASEAN Selesai Rundingan Perjanjian Ekonomi Digital, Sasar Dimeterai November
MANILA, 30 Mei (Bernama-PNA) -- Rundingan bagi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang merupakan pakatan ekonomi digital komprehensif pertama di rantau ini, telah dimuktamadkan sekali gus membuka laluan kepada pemeteraian perjanjian itu pada November tahun ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Kesemua isu tertunggak dalam rundingan berkenaan berjaya diselesaikan semasa mesyuarat kedua Mesyuarat Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan ASEAN (SEOM) ke-57 yang berlangsung di Manila dari 27 hingga 29 Mei.
“Ini menandakan kejayaan penutupan rundingan mengenai perjanjian ekonomi digital pertama di peringkat rantau ASEAN serta satu pencapaian besar dalam memajukan visi Pemimpin ASEAN bagi sebuah ekonomi serantau yang bersepadu secara digital, selamat, saling boleh kendali, kompetitif dan inklusif,” kata Pengarah Biro Hubungan Perdagangan Antarabangsa Jabatan Perdagangan dan Industri, Mary Sherylyn Aquia, yang juga pengerusi ASEAN SEOM pada Sabtu.
Aquia berkata ASEAN DEFA dijangka memainkan peranan transformatif dalam membuka potensi penuh ekonomi digital blok serantau berkenaan.
Ekonomi digital ASEAN diunjurkan mencecah US$1 trilion menjelang 2030 di bawah trend pertumbuhan semasa.
Kajian yang dipetik oleh blok serantau itu menunjukkan bahawa dengan pelaksanaan perjanjian berkenaan, nilai tersebut berpotensi meningkat dua kali ganda kepada US$2 trilion menjelang 2030.
Pertumbuhan yang dijangkakan itu akan memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai salah satu hab pertumbuhan digital terkemuka di dunia, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong keusahawanan serta meluaskan peluang untuk perniagaan dan komuniti di seluruh rantau ini.
Pegawai ekonomi ASEAN kini menyasarkan pemeteraian ASEAN DEFA pada November, bersama-sama dengan Mesyuarat Dewan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-28 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49.
Perjanjian itu merangkumi bidang-bidang utama ekonomi digital, termasuk perdagangan digital, e-dagang rentas sempadan, tadbir urus dan privasi data, identiti digital, pembayaran elektronik, keselamatan dalam talian dan kerjasama keselamatan siber, dasar persaingan, kecerdasan buatan (AI) serta mobiliti bakat digital.
Ia dibina berasaskan usaha integrasi digital ASEAN yang sedang berjalan, seperti ASEAN Single Window, ketersambungan pembayaran digital, inisiatif data rentas sempadan, perlindungan pengguna dalam talian dan Nombor Pengenalan Perniagaan Unik ASEAN (UBIN).
ASEAN DEFA dijangka memperkukuh ketersambungan digital, meningkatkan kepercayaan dalam transaksi dalam talian serta mengurangkan halangan kepada perdagangan digital rentas sempadan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih lancar di seluruh rantau ini.
“ASEAN DEFA membentuk sebahagian daripada seni bina digital ASEAN yang lebih luas dan berkembang pesat, yang sedang mencorakkan masa depan perdagangan, pelaburan serta inovasi di rantau ini.
“Lebih daripada sekadar perjanjian perdagangan digital, ASEAN DEFA bertujuan memudahkan, menjamin keselamatan dan melancarkan lagi penyertaan perniagaan dan pengguna dalam ekonomi digital di seluruh ASEAN,” kata pengerusi ASEAN SEOM itu.
Selain memudahkan perdagangan digital, perjanjian itu direka bentuk untuk berfungsi sebagai alat pembangunan dan integrasi dengan membantu merapatkan jurang pembangunan dalam kalangan negara anggota serta meluaskan peluang bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perjanjian berkenaan juga dijangka memainkan peranan penting dalam memajukan matlamat ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita dan Pelan Strategik AEC 2026-2030.
Menteri Majlis AEC menegaskan bahawa manfaat penuh ASEAN DEFA hanya boleh direalisasikan melalui pemeteraian yang tepat pada masanya, pelaksanaan berkesan serta kerjasama berterusan dalam kalangan negara anggota ASEAN dan pihak berkepentingan.
“Objektifnya bukan sekadar untuk meningkatkan perdagangan digital, tetapi bagi memastikan peluang yang diwujudkan oleh transformasi digital dikongsi secara lebih meluas dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rakyatnya.
“Ia mencerminkan komitmen kolektif ASEAN untuk memperdalam integrasi ekonomi serantau, memperkukuh daya saing serta membuka peluang baharu bagi inovasi, pelaburan dan pertumbuhan mampan di seluruh rantau ini,” kata Aquia.
-- BERNAMA-PNA
