Malaysia Perlu Bangunkan Ekosistem Tenaga Bersih, Pintar Dan Sedia Masa Depan -- Mohd Shahar
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu menumpukan usaha untuk membangunkan sebuah ekosistem tenaga yang bersih, pintar, lebih saling terhubung dan sedia masa depan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata langkah itu membabitkan aspek pemodenan grid, pengupayaan integrasi tenaga boleh baharu (TBB) berskala besar selain membangunkan kemampuan penyimpanan tenaga bateri.
“Ini turut merangkumi usaha mempercepat pendigitalan dan penerimagunaan kecerdasan buatan (AI), mengembangkan ketersambungan tenaga serantau selain memupuk bakal berkemahiran tinggi bagi ekonomi tenaga baharu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama khas pada Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2026 (ETCON 2026) di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Mohd Shahar turut menekankan seiring usaha Malaysia memulakan perjalanan RMK13 dari 2026 hingga 2030, negara ini perlu terus menyeimbangkan tiga keutamaan kritikal secara serentak, termasuk memastikan keterjaminan tenaga jangka panjang serta ketahanan sistem.
Keutamaan lain termasuk mempercepat usaha penyahkarbonan bagi memenuhi komitmen iklim dan aspirasi kemampanan serta mengekalkan daya saing ekonomi dan kemampuan kos untuk rakyat dan industri.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha mencapai keseimbangan itu bukan mudah ketika kerajaan terus berdepan cabaran akibat kos peralihan, ketidaktentuan pasaran serta tekanan pelaburan yang makin ketara di serata dunia.
“(Faktor seperti) risiko iklim, gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan harga bahan api dan geopolitik yang tidak menentu semakin mengancam kestabilan ekonomi dan prospek pertumbuhan jangka panjang.
“Sehubungan itu, kemampanan tidak harus dianggap sebagai kekangan pertumbuhan, sebaliknya menjadi asas daya tahan, daya saing serta kemakmuran masa depan,” katanya.
ETCon26 yang diadakan pada 3 hingga 5 Jun, 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, merupakan persidangan utama oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang bertujuan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan global untuk mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga.
Bertemakan “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition” (Tenaga & AI : Sinergi Bagi Peralihan Tenaga) menumpukan tiga tonggak utama iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition (ET) for People (Tenaga bagi AI, AI untuk Tenaga dan Peralihan Tenaga (ET) untuk Rakyat) yang memaparkan kesalingbergantungan antara sistem tenaga dan teknologi digital.
-- BERNAMA
