Perwakilan Asing Puji Kepimpinan Bijaksana Agong Sempena Hari Keputeraan Rasmi

Duta Besar Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid menyampaikan sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.
01/06/2026 12:46 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Kor diplomatik di Malaysia menzahirkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, hari ini.

Duta Besar Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid yang mewakili perwakilan asing di negara ini, menzahirkan rasa hormat dan kekaguman tinggi komuniti antarabangsa terhadap kepimpinan bijaksana serta dedikasi teguh Seri Paduka Baginda dalam memastikan perpaduan, kestabilan dan kemakmuran negara.

Berucap pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran di Istana Negara hari ini, Adel Mohamed berkata di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda, Malaysia terus dihormati di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara yang menegakkan keharmonian, kesederhanaan, saling menghormati dan hidup aman damai.

“Peranan aktif Malaysia dalam mempromosikan kerjasama serantau, nilai kemanusiaan dan penglibatan antarabangsa yang konstruktif terus memperkukuh kedudukan negara dalam ASEAN serta komuniti global.

“Peranan aktif yang dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda dalam memperkukuh kedudukan diplomatik Malaysia di luar negara terus meningkatkan reputasi negara serta menjadi tunjang dalam mempererat hubungan rapat dan berkekalan Malaysia dengan rakan-rakan antarabangsa,” katanya dalam ucapan tahniah beliau.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Kabinet termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Duta itu turut mengambil kesempatan memuji "kejayaan luar biasa" Malaysia sepanjang memegang tampuk Kepengerusian ASEAN pada 2025, sambil menyifatkan negara ini kekal komited terhadap perpaduan dan kestabilan serantau.

Beliau turut merakamkan penghargaan pihak perwakilan asing atas layanan mesra dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia serta rakyat negara ini.

"Sokongan yang diterima telah membolehkan kami melaksanakan tugas dalam suasana penuh muhibah dan saling memahami," katanya.

Bagi pihak komuniti diplomatik, Adel Mohamed turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun ini, sambil menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti sumbangan besar dan berpanjangan mereka kepada negara ini.

Adel mengakhiri ucapan dengan doa agar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan serta kebijaksanaan, dalam meneruskan khidmat bakti kepada negara.

-- BERNAMA