ENERtec Asia 2026 Tumpu Kepada Peralihan Tenaga, Inovasi AI
KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi tumpuan utama di ENERtec Asia 2026 apabila penggiat industri meneroka teknologi serta penyelesaian baharu bagi menyokong landskap tenaga yang kian berkembang.
Dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia dan dihoskan bersama oleh Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM), program ini disokong oleh The Battery Show Southeast Asia Malaysia serta diadakan dengan kerjasama Persidangan Peralihan Tenaga (ETCon26).
Pengurus Acara Informa Markets Angeline Tang berkata program itu diperluas tahun ini sebagai maklum balas kepada minat yang semakin meningkat terhadap peralihan tenaga yang kini dilihat melebihi isu alam sekitar semata-mata.
“Jadi untuk kali ini, kami menganjurkan ENERtec Asia dan kami sebenarnya menyediakan ruang yang lebih besar sekarang kerana kami melihat adanya keperluan mendesak terhadap peralihan tenaga,” katanya kepada pemberita di luar program tersebut.
Sementara itu, Tang berkata, peralihan tenaga bukan lagi semata-mata dikaitkan dengan isu iklim sebaliknya menjadi semakin relevan dengan kebimbangan kehidupan seharian.
“Jadi setiap orang perlu berfikir untuk memberi takrifan baharu kepada maksud peralihan tenaga. Ia bukan lagi sekadar perkara yang bercita-cita tinggi sebaliknya merupakan sesuatu yang berkaitan dengan 'untung rugi' kewangan anda,” katanya.
Tang berkata, perbincangan dalam program itu turut mencerminkan hubungan yang semakin erat di antara tenaga dengan AI dengan menekankan perkembangan dalam kedua-dua sektor ini semakin saling berkait.
“Cita-cita tenaga hijau yang kita bincangkan ini sentiasa dikaitkan dengan cita-cita AI kita juga. Kedua-duanya saling melengkapi di antara satu sama lain,” katanya.
Tang turut berkata, walaupun Malaysia berada pada kedudukan yang baik berikutan sumber minyak dan gas domestiknya, negara ini harus terus membangunkan sumber tenaga alternatif bagi mempelbagaikan campuran tenaganya.
Beliau berkata, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) muncul sebagai satu daripada tumpuan utama pada acara tahun ini dengan penyertaan kukuh daripada penyedia teknologi penyimpanan tenaga.
“Grid Tenaga ASEAN dan semua inisiatif ini memerlukan pemodenan grid dan memodenkan grid pula memerlukan bateri.
“Bateri merupakan pemacu utama yang membolehkan banyak perkara dan ia memainkan pelbagai peranan dalam grid dalam membekalkan tenaga kepada pusat data serta dalam menyokong sektor tenaga boleh baharu yang sangat bergantung kepada teknologi BESS,” kata Tang.
Memandang ke hadapan, Tang berkata edisi masa depan program itu berkemungkinan besar akan menampilkan lebih banyak teknologi berkaitan AI bersama-sama dengan penyelesaian penyimpanan bateri.
ENERtec Asia 2026 yang bertemakan "Tenaga & AI: Sinergi untuk Peralihan Tenaga" sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 3 hingga 5 Jun.
-- BERNAMA
