Hubungan Antarabangsa Tidak Boleh Dilihat Dalam Lensa Persaingan Kuasa, Kepentingan Sempit Semata - PM Anwar

Kredit: Laman Facebook Anwar Ibrahim
10/06/2026 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Dunia tidak boleh terus terperangkap dalam kerangka lama yang melihat hubungan antarabangsa semata-mata melalui lensa persaingan kuasa dan kepentingan sempit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini kerana dunia kini berhadapan dengan konflik yang berlarutan, persaingan kuasa besar semakin meruncing, rantaian bekalan global semakin rapuh serta ketidaktentuan ekonomi yang semakin melebar.

“Asia membangun hasil daripada keterbukaan, perdagangan, pelaburan dan kerjasama. Benar, tatanan dan institusi antarabangsa sedia ada telah membantu mengangkat jutaan manusia keluar daripada kemiskinan.

“Namun cabaran kita hari ini bukan meninggalkannya, tetapi mereformasi dan memperkukuhnya, agar kekal relevan dengan tuntutan zaman yang kian berubah,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perkara itu dinyatakan Anwar ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Future of Asia yang bertajuk Navigating Strategic Uncertainty, yang menyentuh cabaran besar yang sedang membentuk semula landskap geopolitik dan geoekonomi dunia di Tokyo, Jepun.

Perdana Menteri berkata walaupun tidak memiliki pengaruh yang sama seperti kuasa besar, negara-negara kuasa pertengahan berupaya memainkan peranan sebagai jambatan persefahaman, membina kesepakatan dan menggalakkan kerjasama, ketika dunia semakin cenderung kepada perpecahan.

“Malaysia percaya negara-negara kuasa pertengahan mempunyai tanggungjawab penting dalam usaha ini,” kata beliau.

Anwar berkata dalam dunia yang semakin berpecah, ASEAN kekal relevan sebagai wadah yang mengutamakan keterangkuman, dialog dan kerjasama.

“Semangat yang sama turut menjadi asas hubungan erat Malaysia dan Jepun, dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital dan kecerdasan buatan, demi membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan serta kemakmuran yang dapat dikongsi bersama,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA