PM Anwar: Pemusatan ASEAN Tonggak Utama Depani Orde Dunia Berpecah
Daripada Mohd Iswandi Kasan Anuar
TOKYO, 10 Jun (Bernama) -- Pemusatan ASEAN kekal sebagai pendekatan praktikal dalam mendepani orde dunia yang semakin berpecah, dengan keterangkuman serta kerjasama serantau terbukti lebih berkesan berbanding pendekatan berasaskan pengecualian dan paksaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Forum Nikkei bertemakan “Navigating Strategic Uncertainty” sempena Forum Nikkei Ke-31, Anwar berkata tugas ASEAN masih belum selesai, dengan fasa seterusnya kerjasama serantau akan tertumpu kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi, membina rantaian bekalan yang diyakini serta mempercepat peralihan tenaga.
Beliau berkata Pemusatan ASEAN tidak seharusnya dilihat sekadar slogan diplomatik, sebaliknya perlu difahami sebagai rangka kerja yang mengutamakan dialog, keterbukaan dan kerjasama praktikal dalam menangani cabaran serantau.
Sebagai contoh pendekatan ASEAN, Anwar merujuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang menurutnya membuktikan bahawa kerjasama serantau mampu menghasilkan manfaat nyata walaupun dalam suasana ketidaktentuan global.
“Ketika integrasi ekonomi serantau berdepan ketidaktentuan, negara anggota ASEAN termasuk Malaysia bekerjasama dengan Jepun serta Rakan Dialog lain untuk menguatkuasakan RCEP, sekali gus mewujudkan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia dari segi populasi dan skala ekonomi,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata cabaran kini tidak lagi terhad kepada akses pasaran, sebaliknya melibatkan usaha memastikan ekonomi serantau lebih berdaya tahan, berdaya saing dari sudut teknologi dan mampu menjana kemakmuran bersama.
Beliau berkata ASEAN perlu mempercepat peralihan tenaga, memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab serta memastikan manfaat kemajuan teknologi dapat dinikmati secara lebih meluas, dan tidak tertumpu kepada kelompok tertentu sahaja.
Mengenai masa depan Indo-Pasifik, beliau berkata rantau itu tidak boleh dibina berasaskan konsep strategik semata-mata, sebaliknya perlu disokong kerjasama konkrit yang memberi manfaat nyata kepada rakyat.
“Ini berasaskan hubungan saling percaya, aspirasi tulen dan iltizam politik bagi memastikan manfaat bersama dapat diraih menerusi kerjasama ekonomi,” katanya.
Anwar berkata inisiatif seperti Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik, visi Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka Jepun serta Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik mencerminkan kefahaman bersama bahawa kemakmuran, daya tahan dan kestabilan saling berkait rapat.
“Cabaran di hadapan kita bukanlah untuk terus mewujudkan lebih banyak rangka kerja, tetapi memastikan inisiatif sedia ada menghasilkan impak bermakna. Rangka kerja mesti disusuli kepimpinan kukuh, komitmen jitu dan tindakan tegas,” tambahnya.
Anwar berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan Jepun, ASEAN serta rakan sehaluan lain yang percaya bahawa keamanan dapat diperkukuh menerusi dialog, kemakmuran dicapai melalui keterbukaan dan kemajuan digerakkan melalui kerjasama.
Beliau menegaskan semua pihak perlu bekerjasama bagi mengharungi ketidaktentuan strategik dan mencorak hala tuju masa depan.
-- BERNAMA
