Anwar, Anutin Adakan Mesyuarat Bilateral Perkukuh Kerjasama Malaysia-Thailand
PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan mesyuarat bilateral bersama dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, di Kompleks Perdana Putra di sini, bagi menilai perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Thailand serta membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
Anutin, yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini atas undangan Anwar, tiba pada pukul 11.11 pagi dan disambut Perdana Menteri Malaysia di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum mereka bergerak ke Kompleks Perdana Putra.
Pada mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan sempadan, keselamatan, pertanian, pelancongan, pendidikan serta hubungan antara rakyat.
Mereka juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, khususnya dalam kerangka ASEAN serta mekanisme serantau yang lain.
Antara anggota Jemaah Menteri Malaysia yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan serta Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Delegasi Thailand pula disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Phiphat Ratchakitprakarn; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas; Menteri Pelancongan dan Sukan Surasak Phancharoenworakul; Menteri Pertahanan Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen; Menteri Pertanian dan Koperasi Suriya Juangroongruangkit serta Menteri Buruh Julapun Amornvivat.
Sejurus selepas mesyuarat bilateral itu, kedua-dua Perdana Menteri dijadual menyaksikan majlis penandatanganan dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian, yang mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tersebut.
Anwar kemudiannya akan mengehoskan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan Anutin serta delegasinya.
-- BERNAMA
