Selangor, Jawa Barat Perkukuh Kerjasama Ekonomi Menerusi SIBS@ASEAN
Oleh Harizah Hanim Mohamed
BANDUNG, 9 Julai (Bernama) -- Selangor berhasrat memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan dengan Jawa Barat, Indonesia menerusi kerjasama dalam beberapa sektor berpotensi tinggi yang dijangka memberi manfaat pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata kerjasama itu meliputi sektor aeroangkasa, rel, mobiliti, pembuatan berteknologi tinggi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Bagi PKS pula, program di bawah SIBS@ASEAN turut memberi peluang padanan perniagaan yang membolehkan PKS mendapat manfaat dari jaringan yang diwujudkan antara Selangor dan Jawa Barat," katanya kepada pemberita selepas ucaptama merasmikan SIBS@ASEAN di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Gabenor Jawa Barat Indonesia Erwan Setiawan.
Mengulas pertanyaan sama ada SIBS@ASEAN akan terus dianjurkan di luar negara, Amiruddin berkata Invest Selangor akan terus meneroka pasaran ASEAN pada masa akan datang menerusi penganjuran SIBS@ASEAN.
"Wacana berkisar mengenai ASEAN sentiasa berlaku di peringkat nasional, di antara menteri-menteri melalui perjanjian dan perisytiharan rasmi.
"Hakikatnya, hubungan ekonomi yang boleh meningkatkan perdagangan dan pelaburan berlaku di peringkat subnasional, iaitu di antara wilayah, provinsi, negeri dan bandar," kata beliau.
Sementara itu, Erwan berkata kerjasama ini membuka peluang kepada Jawa Barat untuk mempelajari aspek kewangan Islam dari Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Oleh kerana itu, timbul keinginan untuk mempelajarinya dari Malaysia dan Selangor (aspek kewangan Islam) sehingga Jawa Barat turut mendapat pengiktirafan," katanya.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Erwan berkata Jawa Barat merupakan wilayah yang mesra pelabur, dan dibuktikan menerusi rekod pelaburan yang direalisasi di peringkat nasional.
Katanya Malaysia merupakan antara pelabur terbesar di Jawa Barat, dengan pelaburan direalisasi berjumlah 47 trilion rupiah dalam tempoh lima tahun lepas.
Selain itu, beliau berkata pelancong Malaysia menyumbang 12.5 peratus daripada keseluruhan ketibaan pelancong antarabangsa ke wilayah itu, mencerminkan bahawa negeri itu semakin dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia.
Penganjuran SIBS@ASEAN pertama kali diadakan di luar negara selepas 10 tahun diwujudkan, membuktikan komitmen Selangor untuk memperluas jangkauan perdagangan dan pelaburannya di peringkat serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, menerusi hantaran di laman sosial Instagram, Amirudin turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Wakil Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri, wakil Menteri Perdagangan Faizol Riza serta wakil Danantara Indonesia semalam.
Pertemuan itu antara lain membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan, kerjasama industri antara Selangor dan Indonesia serta potensi kerjasama dalam sektor elektrik, elektronik dan semikonduktor.
-- BERNAMA
