Hari ASEAN Ke-59: ASEAN Perlu Perkukuh Kerjasama, Perpaduan Dan Kepusatan - Su Agung
Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 8 Ogos (Bernama) -- ASEAN perlu mengukuhkan kerjasama, memelihara perpaduan dan mempertingkatkan kepusatan ketika rantau ini menghadapi ketegangan geopolitik, gangguan ekonomi dan cabaran lain yang merentasi sempadan negara.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata blok itu telah berkembang daripada persatuan lima negara pada 1967 menjadi komuniti 11 anggota dan salah satu wilayah ekonomi paling dinamik di dunia, sambil menjadi penyumbang penting kepada keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik yang lebih luas.
Beliau berkata tema Pengerusi ASEAN Filipina, ‘Mengemudi Masa Depan Kita Bersama’, mengingatkan rantau ini bahawa walaupun negara mempunyai keutamaan dan situasi yang berbeza, rakyat berkongsi aspirasi untuk keamanan, maruah, peluang dan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
"Mencapai aspirasi ini semakin bergantung pada bagaimana kita bertindak balas terhadap cabaran yang merentasi sempadan negara. Inilah sebabnya amalan kerjasama ASEAN kekal relevan hari ini," katanya dalam ucapannya pada sambutan Hari ASEAN ke-59 di sini, pada Sabtu.
Kao berkata Hari ASEAN tahun ini amat bermakna kerana ia disambut buat pertama kali sebagai sebuah keluarga yang terdiri daripada 11 negara anggota sambil beliau mengalu-alukan Timor-Leste sebagai anggota terbaru ASEAN.
"Penyertaan Timor-Leste menandakan kemuncak perkongsian, kemajuan dan persediaan selama bertahun-tahun. Ia juga mencerminkan keyakinan ASEAN bahawa komuniti kita lebih kuat apabila ia menjadi lebih inklusif," katanya.
Beliau berkata kerjasama serantau yang lebih kukuh semakin penting kerana konflik di luar Asia Tenggara mengganggu perdagangan dan menjejaskan harga makanan dan tenaga, manakala persaingan strategik, peralihan rantaian bekalan global dan perubahan iklim menimbulkan cabaran selanjutnya kepada rantau ini.
Beliau turut menekankan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), dengan menyatakan ia telah menyediakan asas yang mantap untuk hubungan antara negara di rantau ini.
Katanya prinsipnya, termasuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah dan penyelesaian pertikaian secara aman, telah membantu ASEAN memelihara keamanan, membina kepercayaan dan mengekalkan kestabilan yang menyokong pertumbuhan rantau ini walaupun berdekad-dekad perubahan geopolitik dan pemecahan ekonomi.
Berdasarkan latar belakang ini, Kao berkata Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dianggap amat penting sebagai hala tuju bersama dan ‘kompas strategik’ bagi kumpulan itu untuk mengemudi dunia yang sering berubah sambil mengekalkan prinsip yang telah menyokong komuniti serantau sejak penubuhannya.
Menjelang ulang tahun ke-60 ASEAN tahun depan, Kao berkata golongan muda akan kekal antara kekuatan terbesar kumpulan itu, dengan hampir separuh daripada penduduknya di bawah umur 30 tahun dan satu generasi yang semakin ramai dalam kalangan mereka belajar, menjalankan perniagaan dan bekerjasama merentasi sempadan.
Beliau berkata masa depan ASEAN sebahagiannya bergantung kepada sama ada golongan muda melihat entiti itu bukan sahaja sebagai institusi kerajaan, pegawai dan diplomat, tetapi sebagai sesuatu yang mencipta peluang dalam kehidupan seharian mereka, termasuk dalam pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, inovasi, kemampanan dan transformasi digital.
“Pada Hari ASEAN ke-59 ini, kita meraikan bukan sahaja apa yang telah dicapai oleh ASEAN, tetapi juga kepercayaan dan keyakinan bahawa dengan terus bekerjasama, komuniti kita akan kekal relevan, berdaya tahan, aman, dan stabil untuk generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
