ASEAN Perlu Perkukuh Perpaduan Dan Dialog Dalam Mengemudi Cabaran - Marcos 

--REUTERS/File Photo
08/08/2026 03:59 PM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 8 Ogos (Bernama) -- ASEAN perlu terus bersatu dan komited terhadap dialog dan kerjasama sambil ia mengharungi ketidaktentuan politik dan ekonomi global untuk menjaga kestabilan dan kemakmuran serantau, kata Pengerusi ASEAN dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.

Beliau berkata ASEAN dibina atas kepercayaan bahawa rakyatnya akan lebih selamat, lebih kuat dan lebih makmur apabila negara anggota menghadapi masa depan bersama.

"Hari ini, kita boleh menyatakan dengan bangga bahawa ASEAN telah menunaikan janji itu. Bersama-sama, kita telah membantu memelihara keamanan di rantau kita. Kita telah memperdalam kerjasama ekonomi, meluaskan peluang dan memperkukuh perkongsian," katanya dalam mesej video yang ditayangkan semasa sambutan Hari ASEAN ke-59 di Jakarta pada Sabtu.

Marcos berkata ASEAN juga telah menunjukkan bahawa kepelbagaian ialah sumber kekuatan dan konsensus, kesabaran dan kepercayaan boleh memajukan negara ke hadapan, ketika kumpulan itu menyambut tahun pertama pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Di bawah kepengerusiannya tahun ini, beliau berkata Filipina telah berusaha untuk menterjemahkan visi itu kepada tindakan di bawah tema ‘Mengemudi Masa Depan Kita Bersama’, dengan ASEAN memberikan tumpuan kepada keselamatan tenaga, keselamatan makanan dan keselamatan warganya susulan situasi di Asia Barat.

Marcos berkata konflik di luar Asia Tenggara menunjukkan bagaimana krisis boleh menjejaskan kestabilan, ekonomi dan komuniti jauh di luar tempat ia bermula, ketika rantau ini turut berdepan perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik dan peningkatan pesat kecerdasan buatan (AI).

Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan sidang kemuncak berkaitan pada November dan peralihan ke Singapura sebagai pengerusi seterusnya, Marcos menyatakan keyakinan terhadap kehendak kolektif ASEAN, perkongsiannya dan komitmen bersama negara anggota untuk mengekalkan kemajuan serta kesinambungan.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia Sugiono berkata ASEAN, yang menempatkan hampir 700 juta penduduk dan ekonomi kelima terbesar di dunia, telah meletakkan dirinya sebagai pemacu pertumbuhan, daya tahan dan kestabilan serantau.

Beliau berkata dalam dunia yang semakin dibentuk oleh konflik, persaingan strategik dan perpecahan, ASEAN mempunyai peranan penting sebagai pembina jambatan, membawa negara yang berbeza saiz, kepentingan dan perspektif ke meja yang sama untuk mengurus perbezaan menerusi dialog dan saling menghormati.

"ASEAN juga telah menerangkan dengan jelas bahawa rantau kita tidak boleh sekali-kali menjadi arena untuk persaingan kuasa besar, begitu juga ASEAN tidak akan memilih pihak. Kerana pihak kita adalah, dan akan sentiasa, berpihak kepada rakyat kita, kebajikan mereka, keselamatan mereka, dan masa depan mereka," katanya dalam ucapannya pada sambutan itu.

Dengan ASEAN bakal mencecah usia 60 tahun tahun depan, Sugiono berkata kumpulan itu perlu terus mengukuhkan kapasitinya untuk melakarkan hala tujunya sendiri, memandangkan pendekatannya memilih keamanan berbanding konflik dan dialog, berbanding paksaan menjadi semakin penting dalam dunia yang tidak menentu.

Beliau berkata ASEAN telah menunjukkan bahawa perpaduan masih boleh dicapai walaupun dalam kalangan negara yang tidak selalunya bersetuju, sambil menambah bahawa kumpulan itu berhutang kepada generasi akan datang untuk berdiri bersama dan membina rantau yang lebih kukuh, selamat dan lebih mesra untuk semua.

-- BERNAMA