Jerebu Rentas Sempadan: Indonesia Pergiat Penyelarasan Serantau Menerusi Mekanisme ASEAN
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 5 Sept (Bernama) -- Indonesia terus menyelaras dengan negara jiran dan memanfaatkan mekanisme ASEAN bagi menangani jerebu rentas sempadan, di samping mempergiat usaha domestik untuk mengawal kebakaran hutan dan tanah ketika asap merebak ke beberapa bahagian Asia Tenggara.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia Vahd Nabyl berkata Indonesia mementingkan kerjasama dengan negara jiran dan mengekalkan hubungan dua hala yang baik, khususnya dalam menangani isu alam sekitar seperti jerebu yang kesannya melangkaui sempadan negara.
“Bersama negara-negara di rantau ini, Indonesia turut meningkatkan kewaspadaan terhadap cuaca kering yang dikaitkan dengan keadaan iklim semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jerebu akibat kebakaran di Indonesia merebak ke beberapa bahagian di Asia Tenggara, menjejaskan negara jiran seperti Malaysia, Singapura dan Brunei serta Filipina.
Di Malaysia, darurat diisytiharkan di seluruh Bahagian Serian di Sarawak pada Jumaat selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, manakala beberapa kawasan lain di negeri itu turut merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya atau sangat tidak sihat.
Vahd berkata Indonesia turut menggunakan kerangka ASEAN untuk menangani jerebu, dengan mekanisme di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) sedia ada, selain mesyuarat berkala diadakan bagi membincangkan isu itu serta menyelaras langkah susulan.
Beliau berkata Sekretariat ASEAN, yang bertindak sebagai Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC), mengekalkan Amaran Tahap 3 bagi rantau ini sejak 26 Ogos, yang memerlukan negara anggota ASEAN mengemukakan Laporan Situasi harian, termasuk peta trajektori jerebu, untuk diedarkan kepada pihak yang menjadi tumpuan utama nasional.
Vahd berkata Indonesia telah memenuhi semua kewajipan pelaporan harian dan tindakan mandatori di bawah Amaran Tahap 3 selaras dengan prosedur Pemantauan, Penilaian dan Tindak Balas Kecemasan Bersama ASEAN.
Ini termasuk menyediakan secara proaktif data mengenai titik panas, keadaan alam sekitar, petunjuk pergerakan jerebu serta usaha mengawal kebakaran hutan dan tanah.
“Indonesia juga terus menggesa supaya Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan beroperasi sepenuhnya,” katanya.
-- BERNAMA
