AHMM Ke-17 Himpun Menteri Kesihatan Seluruh Rantau ASEAN
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM) di ibu negara selama lima hari bermula Isnin ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran Facebook memaklumkan AHMM diadakan setiap dua tahun dan akan menghimpunkan menteri kesihatan dari seluruh rantau ASEAN.
“Kali ini, fokus kepada membina sistem kesihatan yang lebih saksama, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Mari kita bersama-sama mewujudkan ASEAN yang lebih sihat untuk generasi akan datang,” menurut hantaran itu.
Persidangan anjuran KKM itu menegaskan peranan penting kementerian sebagai peneraju diplomasi kesihatan serantau yang bertanggungjawab menyelaraskan ketetapan dasar, inovasi kesihatan digital dan kesiapsiagaan krisis kesihatan pada peringkat ASEAN.
KKM memaklumkan AHMM menjadi platform utama bagi menteri kesihatan ASEAN membincangkan isu kesihatan serantau dan memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dalam bidang kesihatan.
Antara hasil utama AHMM adalah persetujuan terhadap keutamaan kesihatan serantau dan pemuktamadan Kenyataan Bersama bagi memperkukuh kerjasama kesihatan dalam kalangan negara anggota.
Bertemakan “ASEAN Sihat: Bersama-sama ke Arah Sistem Kesihatan Saksama dan Bersedia Menghadapi Masa Hadapan”, AHMM ke-17 mengetengahkan enam acara sampingan yang akan membawa isu dan agenda kesihatan yang penting ke persada ASEAN.
Ia meliputi kesihatan paru-paru, penyakit jarang jumpa, kesihatan mata, sains tingkah laku, peranti perubatan dan penyelidikan ubat.
-- BERNAMA
