Mesyuarat Menteri RCEP Sasar Perkukuh Aliran Perdagangan Pada Hari Keempat AEM

25/09/2025 08:29 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-4 akan membincangkan cara untuk meningkatkan aliran perdagangan di rantau ini pada hari keempat Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan hari ini.

Mesyuarat itu, yang dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan memberi tumpuan pada mengukuhkan aliran perdagangan, meningkatkan kerjasama ekonomi serantau dan memperkukuh peranan ASEAN sebagai teras kepada perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia.

Mesyuarat itu juga akan mempersiapkan negara-negara anggota untuk agenda yang akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak RCEP, yang dirancang sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan.

Inisiatif yang diterajui ASEAN ialah perjanjian perdagangan terbesar dunia, meliputi 15 negara anggota, termasuk 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Menurut Tengku Zafrul, RCEP belum mengadakan mesyuarat rasmi pemimpin sejak menandatangani perjanjian perdagangan pada November 2020. 

Pada Ogos, ketika mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin RCEP, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RCEP kekal sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, meliputi 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan perkumpulan ini “tidak seharusnya kekal sebagai dokumen undang-undang di atas kertas, sebaliknya perlu diperbaharui dengan iltizam politik.” 

Menurut program rasmi AEM, acara hari ini turut termasuk Perundingan AEM-Closer Economic Relations (CER) dengan Australia dan New Zealand ke-30, diikuti Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-13, yang akan membincangkan kerjasama ekonomi serantau dan hala tuju masa depan untuk kerjasama EAS.

Ini akan diikuti dengan Perundingan AEM-United Kingdom (UK) dengan Menteri Negara bagi Jabatan Perniagaan dan Perdagangan ke-5 serta Perundingan AEM-Pesuruhjaya Perdagangan Kesatuan Eropah (EU) ke-21, akan dihadiri oleh Pesuruhjaya Perdagangan EU Maros Sefcovic.

Mesyuarat ini dijangka membincangkan kerjasama ekonomi dan isu perdagangan, bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi dan mengenal pasti bidang baharu untuk kerjasama antara ASEAN, UK dan EU.

Pada petang, program itu termasuklah Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU ke-11, anjuran Majlis Perniagaan EU-ASEAN, dengan penyertaan AEM. Acara hari ini akan diakhiri dengan Majlis Makan Malam Perniagaan Peringkat Tinggi ASEAN-Kanada, anjuran Majlis Perniagaan Kanada-ASEAN.

Diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, AEM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan telah menarik lebih 500 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN dan rakan dialog utama.

Dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, acara selama seminggu itu melibatkan 20 mesyuarat dan program sampingan dari 22 hingga 26 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Ini kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaannya dalam blok serantau ini, selepas kali terakhir mempengerusikannya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA