Undangan Trump Atas Kapasiti Pengerusi ASEAN, Bukan Hubungan Dua Hala - Mohamad

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan (tengah) ketika sidang media perkembangan terkini 23 peserta Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan Israel di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) hari ini.
04/10/2025 03:48 PM

SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- Undangan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, berikutan Amerika Syarikat merupakan rakan dialog blok itu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Trump bukan diundang atas dasar hubungan dua hala Malaysia-AS, sebaliknya sebagai ketua negara rakan dialog ASEAN, dan undangan itu selaras dengan tanggungjawab pengerusi untuk menjemput semua pemimpin.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, kita mengundang semua ketua negara hadir. Tidak boleh ada keadaan sesetengah negara tidak diundang, sementara yang lain diundang. Itu bukan amalan diplomasi yang baik. ASEAN mesti dilihat mengamalkan dasar berkecuali,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini hari ini.

Mohamad berkata prinsip berkecuali menjadi kekuatan utama ASEAN dalam mengekalkan kestabilan rantau ini, sekali gus mempertahankan kepusatan ASEAN iaitu peranan blok itu sebagai pusat rujukan dan platform utama dialog serantau.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan undangan rasmi kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan diadakan di Kuala Lumpur bulan ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin utama dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin.

-- BERNAMA