SOMRI WG-IMT Penting Dalam Memperkasa Agenda Maklumat, Media ASEAN - Mohamad Fauzi

06/10/2025 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Maklumat, Media dan Latihan (SOMRI WG-IMT) ke-10 berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Mesyuarat berkenaan yang menghimpunkan wakil kanan dari negara anggota ASEAN, bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam perkongsian maklumat, amalan media bertanggungjawab serta usaha melindungi rakyat daripada kandungan berbahaya.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata peranan kumpulan kerja berkenaan amat penting dalam memajukan agenda maklumat dan media ASEAN, khususnya dalam memastikan persekitaran digital kekal selamat dan inklusif untuk semua.

“Kita juga dipertanggungjawabkan untuk melindungi golongan rakyat paling terdedah daripada kandungan berbahaya dalam talian. Kita turut diamanahkan untuk merangka program latihan yang dapat meningkatkan keupayaan teknikal dan peraturan, menggalakkan akses maklumat serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih meluas agar tiada komuniti di ASEAN tercicir,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan ASEAN SOMRI WG-IMT di sini hari ini.

Mohamad Fauzi berkata mesyuarat ke-10 kali ini turut memberi tumpuan kepada beberapa perkara utama termasuk laporan kemajuan Pelan Strategik ASEAN bagi Maklumat dan Media 2016-2025.

“Kita juga menerima laporan daripada negara anggota di bawah bidang keutamaan WG-IMT, yang akan memberikan pandangan berharga mengenai cabaran serta peluang dihadapi oleh negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata perwakilian turut akan membincangkan perkembangan baharu seperti peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), penyebaran media sintetik serta penggunaan sains tingkah laku.

“Perkembangan semasa ini mempunyai implikasi besar terhadap cara maklumat dihasilkan, digunakan dan dipercayai dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata kelewatan dalam kerjasama dengan platform global, kekangan sumber serta peningkatan keupayaan kandungan palsu yang dihasilkan AI menekankan keperluan mendesak untuk memastikan rangka kerja ASEAN kekal relevan, sesuai dan berpandangan jauh.

Mengenai Mesyuarat Pasukan Petugas ASEAN Mengenai Berita Palsu ke-10 pada Ogos lepas, beliau berkata mesyuarat itu menegaskan komitmen bersama ASEAN dalam menangani isu penyebaran maklumat palsu.

“Kita berbesar hati melihat pelaksanaan inisiatif konkrit seperti platform semakan fakta WASPADA.bn oleh Brunei, kempen Say No to Fake News oleh Kemboja, program literasi digital kebangsaan oleh Indonesia serta usaha Malaysia melalui MyCheck Malaysia. Namun, kami akui masih ada cabaran perlu ditangani,” katanya.

Mohamad Fauzi menekankan keperluan mendesak untuk memastikan rangka kerja ASEAN kekal relevan, sesuai dan berpandangan jauh, sambil merujuk kepada kelewatan dalam kerjasama dengan paltform global, kekangan sumber serta peningkatan keupayaan kandungan palsu yang dihasilkan melalui AI.

Beliau menyeru ASEAN memperkukuh semula peranannya dalam mmemajukan bidang maklumat, media dan latihan sebagai asas kepada integrasi serantau, sambil menegaskan bahawa melalui kerjasama dipertingkat dalam bidang berkenaan, blok itu mampu melangkaui sekadar pertukaran maklumat.

“Kita memupuk kepercayaan, memperkukuh ketahanan dan membina identiti bersama yang dapat merapatkan lagi hubungan dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan ke Kuala Lumpur, sambil berharap mereka berpeluang meneroka keunikan bandar raya yang menggabungkan tradisi, kemodenan serta kepelbagaian budaya dan warisan.

Mesyuarat berkenaan turut memperkukuh hasil dicapai pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Maklumat (AMRI) dan Mesyuarat Pegawai Kanan SOMRI ke-22, yang menegaskan semula komitmen rantau ini untuk memperkasa celik digital, memupuk penggunaan media secara bertanggungjawab serta melindungi integriti maklumat.

Delegasi Malaysia turut disertai wakil daripada Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

-- BERNAMA