Suara Semua Carnival Platform Pupuk Keharmonian, Persefahaman Budaya

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada perasmian Karnival Suara Semua 2025 di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT). Turut hadir, Pengerusi Karnival Suara Semua 2025 Jay Hoi, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kunkwan dan The KOL Academy Kent Ng dan Ketua Hal Ehwal Korporat Bernama Mariati Mohd Arif.
19/10/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Pertandingan Suara Semua Carnival 2025 (SSC 2025) yang berlangsung di ibu negara hari ini menjadi platform penting dalam memupuk keharmonian serta persefahaman budaya dalam kalangan masyarakat dunia.

Pengerusinya Jay Hoi Jin Jie berkata acara anjuran Kunkwan International Mandarin Training Centre itu mengetengahkan konsep ‘suara’ sebagai tema utama, sekali gus berjaya menarik penyertaan peserta dari 11 negara ASEAN+1 dan China.

“Melalui suara dan seni persembahan, peserta bukan sahaja menyampaikan mesej keharmonian, malah mempelajari budaya serta bahasa lain kerana mereka perlu menyanyikan lagu yang bukan dalam bahasa ibunda masing-masing. Tahun ini, kami menggunakan tema ASEAN, maka peserta bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga dari seluruh rantau,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kunkwan dan The KOL Academy Kent Ng (dua, kiri) bersama Pengerusi Karnival Suara Semua 2025 Jay Hoi menyampaikan sijil penghargaan dan replika cek kepada pemenang Karnival Suara Semua, Theresia Ardelia dari Indonesia pada Karnival Suara Semua 2025 di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).

Hoi, yang juga Ketua Pegawai Modal Kunkwan berkata seramai 60 peserta menyertai sesi uji bakat sejak Mac lepas sebelum 30 orang dipilih ke peringkat separuh akhir dan hanya 11 peserta mara ke peringkat akhir yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata pertandingan itu turut membuka ruang kerjasama lebih luas antara artis tempatan dan serantau dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kebudayaan ASEAN.

Pertandingan akhir SSC 2025 yang diadakan di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) itu, turut menampilkan barisan juri profesional tempatan dan serantau termasuk pelakon Diana Danielle, penyanyi Mark Adam serta Meer Nash.

Turut hadir, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Hal Ehwal Korporat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mariati Mohd Arif.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kunkwan International Mandarin Training Centre Kent Ng Kun Kwan berkata semangat karnival berkenaan sejajar dengan peribahasa Melayu, 'tak kenal maka tak cinta', yang menekankan peranan bahasa dan seni sebagai jambatan untuk memahami serta meraikan kepelbagaian budaya.

“Saya percaya apabila kita belajar bahasa orang lain, kita juga belajar tentang budaya mereka. Dari situ kita sedar bahawa walaupun berlainan bangsa dan bahasa, kita tetap manusia yang berkongsi emosi, impian dan harapan yang sama,” katanya.

-- BERNAMA