Keberhasilan Utama Ekonomi Lambang Kepimpinan Malaysia Selaku Pengerusi ASEAN 2025
Oleh Karina Imran dan Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Malaysia boleh berbangga dengan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang hampir melabuhkan tirai pada akhir tahun ini berikutan telah mendorong inisiatif bagi memacu integrasi serantau, meningkatkan penglibatan dengan rakan dialog serta memperkukuh tonggak ekonomi rantau ini.
Antara aspek terpenting adalah keberhasilan utama ekonomi (PED) yang diterajui Malaysia untuk memperdalam integrasi, meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta mempercepat hubungan digital bagi menghubungkan ekonomi serantau dan meraih potensi perniagaan sepenuhnya demi hampir 680 juta penduduknya.
Selain perniagaan, PED akan turut menggalakkan kemampanan, mencerminkan kesungguhan ASEAN dalam melindungi alam sekitar selari dengan usaha meneruskan pertumbuhan.
Isu-isu ini akan ditekankan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan minggu depan, yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sidang kemuncak itu akan turut menyaksikan mesyuarat dengan Amerika Syarikat (AS), China, Korea Selatan, Jepun, India, New Zealand, Australia, Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia.
Lazimnya terdapat negara yang memohon untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan negara lain pada sidang kemuncak itu selain pertemuan satu dengan satu dalam kalangan pemimpin pada saat-saat akhir, yang mungkin bertujuan untuk menyelesaikan beberapa isu yang dijangka berlaku.
Mesyuarat persediaan dalam kalangan pegawai kanan akan bermula pada 23 Oktober, diikuti mesyuarat menteri-menteri sebelum diteruskan dengan sidang kemuncak utama bermula 26 hingga 28 Oktober.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkongsi pandangannya kepada Bernama mengenai Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dan kemajuan yang telah dicapai oleh ASEAN setakat ini.
Tengku Zafrul berkata ASEAN telah mencapai kemajuan yang ketara di bawah tonggak ekonomi melalui pelaksanaan 18 PED berkenaan.
Anwar Serah Kepengerusian ASEAN Kepada Filipina
Inisiatif-inisiatif ini akan berkembang dengan lebih pesat memandangkan pemimpin serantau dan dunia bersedia menyokong, mempersetujui dan memeterai perjanjian serantau serta dua hala ketika Anwar mempengerusikan pusingan terakhir sidang kemuncak serantau dan rakan dialog bagi tahun ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 pada 28 Oktober ini dan berikrar bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam isu yang sedang ditangani oleh pertubuhan berusia 58 tahun.
Sebelum menyerahkan tanggungjawab berkenaan, beliau akan diberikan penghormatan untuk menerima Timor Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Tonggak ekonomi kekal menjadi tumpuan penting khususnya selepas ASEAN mencatatkan kemajuan yang paling ketara, terutama dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan mereka dan rakan kongsi bagi menjadikan Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan utama yang kompetitif.
Perjanjian penting ini yang bermula dengan memacu perdagangan dan merangkumkan sektor baharu untuk kerjasama ekonomi bagi merangsang kesalinghubungan digital di seluruh rantau dan mengurangkan halangan bukan tarif akan menawarkan lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat besar serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Aspek ini seiring dengan tempoh Malaysia menggalas peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan."
Secara tidak langsung, ini bererti sebarang inisiatif serantau yang diperkenalkan perlu mengambil kira 70 juta PMKS di rantau ini, yang menyumbang antara 97.2 peratus hingga 99.9 peratus daripada jumlah entiti dalam negara anggota ASEAN.
Tumpuan kepada syarikat-syarikat besar sahaja tidak akan memacu potensi sepenuhnya pertumbuhan perdagangan ASEAN.
Tidak dinafikan bahawa PED yang lebih meluas hadir tepat pada masanya bagi menangani impak buruk ekoran kos yang lebih tinggi akibat gangguan yang berlaku daripada tarif yang dikenakan AS berikutan pengumuman yang agak mengejutkan pada April lepas.
Bagaimanapun Anwar terus memimpin ASEAN dengan memilih untuk tidak bertindak balas ke atas tarif yang dikenakan Presiden AS Donald Trump, tetapi menggesa perlunya tindakan segera untuk Asia Tenggara berintegrasi dan melibatkan Washington dalam dialog yang lebih membina bagi menangani kebimbangan mengenai tarif.
Aspek yang ditunggu-tunggu adalah hasil daripada sidang kemuncak ASEAN-AS, dan sama ada kalangan pemimpin serantau mampu meyakinkan Trump untuk mengurangkan tarif bagi meredakan gangguan kepada ekosistem dan kos mereka.
Dalam senario yang mencabar ini, ASEAN berpendirian bukan sahaja untuk memacu PED malah memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dengan China dan memeterai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang akan memudahkan peningkatan urus niaga.
Sudah Sampai Masanya ASEAN dan Negara Lain Kurangkan Pergantungan Terhadap AS
Mesej itu agak jelas bagi ekonomi ASEAN untuk mengurangkan pergantungan mereka terhadap pasaran Amerika yang telah menjadi destinasi utama eksport dan mempelbagaikan ke rantau serta pasaran lain.
Justeru itu, sidang kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diterajui ASEAN akan menjadi medan penting bagi ekonomi Asia untuk mengembangkan lagi perdagangan bagi mengimbangi tarif AS.
Pada sidang kemuncak yang akan datang, terdapat perancangan bagi perjanjian perdagangan perkongsian ekonomi yang lebih komprehensif dengan India dan mungkin juga komitmen untuk mengambil langkah yang sama dengan rakan dialog yang lain.
EU sedang meneruskan perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan negara ASEAN termasuk Malaysia.
Tengku Zafrul berkata permeteraian ATIGA dan kemajuan DEFA akan menjadi tumpuan utama pada sidang kemuncak minggu depan di tengah-tengah situasi perdagangan dunia yang agak mencabar ketika ini.
Malaysia, yang mendukung usaha berterusannya untuk mengukuhkan hubungan ekonomi serantau dan global, juga dijadualkan menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Korea Selatan semasa sidang kemuncak itu.
"Kita akan menandatangani perjanjian FTA antara Malaysia dan Korea semasa Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN," katanya sambil menjelaskan bahawa perjanjian itu akan membawa manfaat kepada semua sektor.
Sidang kemuncak dengan China juga penting bagi ekonomi Asia Tenggara untuk meyakinkan Beijing agar membukakan lagi pasarannya dengan lebih luas berikutan mengikut laporan pada 2023, ASEAN mengalami defisit perdagangan yang besar dengan China sehingga mencecah US$190 bilion.
Beberapa penganalisis berpendapat ASEAN perlu menuntut akses pasaran timbal balik daripada rakan perdagangan utama seperti China dan EU.
Felo kanan Universiti Teknologi MARA di Pusat Kajian Perang Media dan Maklumat Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata pada Julai bahawa tarif AS seharusnya memberi kesedaran kepada ASEAN untuk bertindak lebih tegas sebagai satu blok bagi memperoleh akses lebih meluas ke pasaran yang menguntungkan.
Sidang Kemuncak Bersejarah ASEAN-GCC-China
“Semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN, kami akan mengumumkan kejayaan dalam memuktamadkan sebahagian besar daripada 18 PED ini,” kata Tengku Zafrul sambil memaklumkan ATIGA dan FTA ASEAN-China adalah antara kejayaan itu.
Selain itu, beliau berkata perjanjian dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) adalah PED pertama yang dapat dicapai.
Aspek yang perlu diberikan perhatian adalah keupayaan Anwar untuk mempengerusikan sidang kemuncak bersejarah ASEAN-GCC-China pada Mei yang membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik dan pembentukan semula hubungan serantau dalam persekitaran dunia yang kini semakin ketara bersifat multipolar.
Tengku Zafrul berkata ASEAN kini berada pada peringkat akhir untuk memuktamadkan elemen substantif DEFA yang akan menjadi asas kepada ekonomi digital serantau yang lebih saling terhubung dan terangkum.
Beliau turut mengesahkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik akan ditandatangani di antara Malaysia dengan AS pada minggu hadapan.
Pasukan perunding AS telah berada di Malaysia sejak minggu lepas untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan susulan persefahaman yang dicapai di antara Anwar dengan Trump menerusi panggilan telefon baru-baru ini.
Selain itu, Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick minggu depan mengenai tarif sektoral.
Hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan amat penting untuk menentukan hala tuju ekonomi serantau, rakan dialog, kuasa besar dan pemain utama dalam usaha untuk memaksimumkan pertumbuhan serta mencapai kemakmuran bersama.
-- BERNAMA