Stadium Merdeka Bakal Meriah Dengan Riuh X ASEAN Marketplace 2025 Hujung Minggu Ini

22/10/2025 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Mercu tanda bersejarah di ibu negara, Stadium Merdeka bakal meriah dengan sorakan, muzik dan warna-warni budaya sempena RIUH x ASEAN Marketplace 2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini.

PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam kenyataan memaklumkan acara selama tiga hari dari 24 hingga 26 Okt itu menghimpunkan pelbagai aktiviti kreatif, usahawan tempatan dan persembahan seni dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata acara itu mencerminkan semangat keterangkuman dan kebersamaan yang menjadi tunjang kepada usaha memperkasakan komuniti.

“Kami teruja untuk membuka pintu kami kepada festival yang menyatukan komuniti sambil mengetengahkan bakat, warisan dan budaya tempatan sejajar dengan transformasi berterusan Stadium Merdeka di bawah inisiatif Warisan KL.

“Marketplace ini membawakan usahawan tempatan daripada Program Geran Komuniti Merdeka 118, memberikan peluang kepada perniagaan kecil dan perusahaan sosial untuk berkongsi hasil seni serta kisah mereka dengan khalayak yang lebih luas,” katanya.

Antara yang mengambil bahagian termasuk Hanuni Halim dengan seni decoupage (hasil seni potongan kertas), Hara Maker dengan ciptaan plastik inisiatif hasil semula (upcycling) serta produk lebah madu kelulut oleh komuniti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut kenyataan itu, bersempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, festival berkenaan turut menampilkan lebih 100 jenama runcit serta makanan dan minuman (F&B), bengkel kreatif serta persembahan pentas dari Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Antara artis yang bakal menghiburkan pengunjung ialah Aina Abdul, Estranged, Atilia Haron dan ALYPH dari Singapura.

“Dengan latar Presint Merdeka 118 yang kini berwajah baharu, pengunjung juga boleh meneroka kawasan sekitar Jalan Petaling, Chinatown dan Kampung Attap yang kini muncul sebagai koridor budaya baharu Kuala Lumpur, menggabungkan warisan lama dengan gaya hidup kontemporari, galeri seni dan kafe butik moden,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA