LLM, PDRM Laksana Pelan Pengurusan Trafik Komprehensif Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuh raya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pelan pengurusan trafik komprehensif bagi memastikan kelancaran pergerakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Okt ini.
LLM memaklumkan usaha itu sejajar dengan saranan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi memastikan pergerakan rasmi para pemimpin negara dan delegasi antarabangsa berjalan lancar serta selamat sepanjang persidangan itu.
"Sidang kemuncak itu bakal menghimpunkan ketua-ketua negara, ketua-ketua kerajaan serta delegasi berprofil tinggi dari seluruh rantau dan dunia, sekali gus memerlukan penyelarasan rapi dan tindakan proaktif bagi menjamin kelancaran pergerakan serta keselamatan semua pihak yang terlibat.
"Sebagai agensi penyelia operasi lebuh raya negara, LLM telah menjalin kerjasama strategik dengan PDRM, agensi penguatkuasaan lain serta syarikat konsesi lebuh raya bagi melaksanakan pelan pengurusan trafik komprehensif sepanjang tempoh persidangan itu," menurut LLM dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, LLM turut memastikan semua sistem sokongan trafik di lebuh raya seperti papan tanda elektronik (VMS), kamera litar tertutup (CCTV) dan Pusat Pengurusan Trafik (TMC) berfungsi pada tahap optimum bagi menyokong pemantauan serta kawalan trafik secara berkesan.
"Bagi menjamin kelancaran perjalanan antara lapangan terbang dan pusat bandar, kerja-kerja penyelenggaraan atau pembinaan yang melibatkan penutupan lorong di lebuh raya utama akan dihentikan sementara waktu kecuali bagi kerja-kerja yang melibatkan kes kecemasan sahaja bermula 23 hingga 29 Okt 2025," menurut kenyataan itu.
LLM menasihati semua pengguna lebuh raya khususnya di sekitar Lembah Klang dan kawasan berhampiran KLCC agar memberikan kerjasama dengan merancang perjalanan lebih awal serta menyemak status trafik semasa melalui saluran rasmi.
Pengguna juga dinasihatkan mematuhi semua arahan dan isyarat yang dikeluarkan oleh pihak polis serta pasukan peronda lebuh raya, selain peka terhadap sebarang pengumuman rasmi berhubung penutupan atau lencongan sementara di laluan utama sekitar ibu negara antara 23 hingga 28 Oktober ini.
Untuk maklumat lanjut atau laporan trafik semasa, orang ramai boleh melayari media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi lebuh raya, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM (TMC) melalui talian bebas tol 1-800-88-7752.
-- BERNAMA