Bernama Sedia Tawar Perkhidmatan Terbaik Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Kata KPE

22/10/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sekali lagi menyahut cabaran memikul amanah besar mengendalikan Pusat Media Antarabangsa (IMC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sekali gus memperkukuh peranan agensi itu dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pengalaman luas menguruskan pusat media bagi acara bertaraf antarabangsa sebelum ini menjadi asas keyakinan terhadap keupayaan pasukan agensi berita nasional itu melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

“Alhamdulillah, sekali lagi Bernama diberi kepercayaan, amanah dan tanggungjawab mengendalikan IMC oleh Kementerian Luar.

“Saya yakin dengan pasukan Bernama kerana kita telah berpengalaman mengendalikan beberapa IMC sebelum ini dan insya-Allah, kita boleh laksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin serta dengan lancar,” katanya. 

Beliau berkata Bernama, selaku penyelaras IMC, turut menghantar petugas dalam jumlah yang besar bagi memastikan liputan menyeluruh bagi memastikan kelancaran pengurusan sepanjang acara berkenaan selaras dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Nur-ul Afida berkata sejak awal tahun ini, Bernama telah diberi kepercayaan oleh pelbagai kementerian untuk menguruskan pusat media antarabangsa bagi beberapa acara termasuk Permukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN, yang bakal diadakan bulan depan. 

“Kepercayaan yang diberikan ini membuktikan kemampuan Bernama untuk terus memainkan peranan penting dalam menyelaras liputan media bertaraf antarabangsa,” katanya. 

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata seramai 2,854 pengamal media daripada 290 agensi dalam dan luar negara telah mendaftar untuk membuat liputan acara itu termasuk 648 wakil media rasmi Malaysia, 327 media tempatan, dan 1,277 media antarabangsa.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

-- BERNAMA