Anutin Akan Melawat Malaysia, Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 22 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 25 hingga 28 Okt.
Lawatan ini ialah kunjungan pertama beliau ke Malaysia, dan lawatan rasmi luar negara kedua sejak memegang jawatan pada 7 Sept lepas.
Jurucakap kerajaan Siripong Angkasakulkiat berkata lawatan itu, atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan kepentingan Malaysia selaku negara jiran rapat dengan kepentingan bersama dan kemakmuran yang saling berkaitan.
“Semasa lawatan ini, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan dua hala untuk memperkukuh kerjasama bagi manfaat bersama, terutamanya dalam mempromosikan kesalinghubungan rentas sempadan dalam sektor pengangkutan, meningkatkan perdagangan dan pelaburan, merancakkan pelancongan, menangani cabaran rentas sempadan dan memupuk hubungan antara rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Siripong berkata pada sidang kemuncak berkenaan, Anutin akan menegaskan empat keutamaan – menggalakkan keamanan dan kestabilan, membina Komuniti ASEAN yang selamat dan berdaya tahan, memacu pertumbuhan ekonomi inklusif, dan memajukan transformasi ke arah kemampanan.
“Lawatan ini juga merupakan peluang penting untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Thailand dengan Malaysia, khususnya dalam bidang keselamatan sempadan dan pembangunan ekonomi, selain berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama serantau dalam kerangka ASEAN,” katanya.
Perdana Menteri Thailand juga dijangka mengadakan perbincangan dengan pemimpin utama di bawah rangka kerja ASEAN termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, dan India, serta pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin dunia di luar sidang kemuncak.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt, dengan penyertaan lebih 20 pemimpin dunia terkemuka, termasuk 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, India, Brazil dan Afrika Selatan.
Sidang kemuncak berkenaan dijangka yang terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak 1976.
-- BERNAMA