SAMENTA Gesa ASEAN Kukuhkan Perdagangan Intra-Serantau Menerusi Kerjasama Lebih Erat

Presiden SAMENTA Datuk William Ng
23/10/2025 02:42 PM

Oleh NURUNNASIHAH AHMAD RASHID

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kalangan pemimpin ASEAN memperkukuh perdagangan intra-ASEAN menerusi semangat kerjasama dan bukan persaingan.

Ini memandangkan perdagangan antara blok itu kekal pada sekitar 20 peratus lebih sedekad lepas, katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Kebangsaan SAMENTA  Datuk William Ng berkata isu utama bukan semata-mata berkaitan tarif atau halangan bukan tarif, tetapi hakikatnya rantaian bekalan serantau ketika ini lebih terarah kepada pasaran luar ASEAN berbanding dalam rantau itu sendiri.

“Malaysia, selaku pengerusi ASEAN tahun ini, wajar menerajui usaha dalam menilai semula keutamaan ekonomi rantau ini, dengan beralih daripada melindungi pasaran domestik kepada membangunkan industri serantau dan kemakmuran bersama,” kata beliau.

Ng dalam pada itu berpendapat inisiatif ekonomi digital ASEAN seperti sistem pembayaran rentas sempadan dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang bakal dimuktamadkan perlu mengambil kira penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di rantau ini.

“Ekosistem digital serantau yang melibatkan platform e-dagang boleh saling guna, piawaian keselamatan siber bersama serta aliran data yang dipermudah akan membolehkan PMKS berinovasi, menjalin kerjasama serta meningkatkan daya saing.

“Industri kreatif, yang kebanyakannya diterajui oleh usahawan kecil dan wanita, perlu diangkat sebagai sebahagian daripada rantaian nilai serantau, disokong oleh perlindungan harta intelek, mobiliti bakat serta kluster kreatif rentas sempadan,” katanya.

SAMENTA turut menggesa ASEAN menumpukan perhatian daripada penilaian prestasi di peringkat nasional seperti angka eksport atau keluaran industri domestik kepada petunjuk prestasi serantau yang menilai sejauh mana ekonomi negara anggota saling melengkapi antara satu sama lain.

“Pendekatan berasaskan rantaian bekalan serantau akan menggalakkan setiap negara anggota memanfaatkan kekuatan masing-masing dan bekerjasama bagi meningkatkan daya saing kolektif, bukannya bersaing untuk menarik pelaburan dan pasaran yang sama.

“Ukuran yang lebih inklusif ialah menilai pertumbuhan kolektif kita sebagai satu blok ekonomi, walaupun secara tidak formal, yang kemudiannya boleh dijadikan asas perbincangan di peringkat pemimpin untuk mempercepat transformasi ASEAN menjadi kumpulan ekonomi yang lebih mantap,” kata Ng.

Selain itu, SAMENTA menekankan bahawa ASEAN perlu membantu PMKS melangkaui peranannya sebagai pembekal atau pengeluar asal peralatan (OEM) kepada pemilik jenama dan pencipta nilai di dalam serta luar rantau ini.

“Langkah ini akan membantu kita mencapai daya saing dan ketahanan jangka panjang, terutamanya apabila ekonomi yang lebih besar di sekeliling rantau ini terus berkembang dan menyepadukan kekuatan masing-masing.

“Jika ASEAN benar-benar komited mahu meningkatkan perdangan intra-serantau, kita perlu bertindak melangkaui naratif ‘menghapuskan halangan’ dan memfokuskan kepada usaha membina kerjasama antara perniagaan di rantau ini,” kata beliau.

-- BERNAMA