ASEAN Perlu Perhebat Liberalisasi Perkhidmatan, Usaha Perkukuh Integrasi Ekonomi Serantau

23/10/2025 07:06 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Usaha ASEAN untuk mencapai integrasi ekonomi yang lebih mendalam perlu melangkaui sekadar pengurangan tarif, sebaliknya memberi tumpuan kepada liberalisasi sektor perkhidmatan, mempermudah urusan perdagangan dan mengantarabangsakan syarikat serantau, kata Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO).

Ketua Ahli Ekonomi AMRO Dong He berkata keutamaan ASEAN kini yang merangkumi pendigitalan, pertumbuhan mampan dan inklusif serta penyelarasan dasar di bawah Pelan Tindakan Strategik, Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 merupakan langkah tepat bagi menjadikan ekonomi rantau ini lebih bersepadu.

Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Dong He

Justeru itu, untuk mencapai matlamat ini, ASEAN harus bergerak melangkaui sekadar pengurangan tarif,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

AMRO, selaku badan penasihat dasar serantau profesional memainkan peranan dalam memperkukuh daya tahan serta kestabilan makroekonomi dan kewangan bagi rantau ASEAN+3.

Ia bertindak menerusi pemantauan ekonomi serantau, menyokong pembiayaan serantau, menyediakan bantuan teknikal, berfungsi sebagai hab pengetahuan serantau dan memudah cara kerjasama kewangan.

Rantau ASEAN+3 merangkumi 14 negara, terdiri daripada 10 anggota ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan.

Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan dihoskan Malaysia, ASEAN perlu memanfaatkan hubungan luar untuk memperkukuh keupayaan domestik dan menyokong pertumbuhan serta mengantarabangsakan syarikat serantau, kata beliau.

“Komuniti Ekonomi ASEAN seharusnya menjadikan rantau ini sebagai satu ruang ekonomi bersepadu — bukan sekadar kumpulan ekonomi terbuka yang berdiri sendiri,” katanya.

Sementara itu, AMRO mengunjurkan pertumbuhan ASEAN+3 menjadi sederhana pada kadar 4.1 peratus tahun ini dan 3.8 peratus pada 2026, berbanding 4.3 peratus unjuran sebelum ini.

Unjuran itu mencerminkan permintaan luaran yang hambar dan persekitaran dasar yang lebih tidak menentu.  

Bagi ASEAN, pertumbuhan diunjurkan sedikit susut kepada 4.6 peratus pada 2025 dan 4.3 peratus pada 2026, namun masih di atas kadar purata global, katanya.

Beliau mengingatkan pertumbuhan serantau menghadapi pelbagai risiko meliputi ketegangan perdagangan yang berpanjangan, perbezaan pendirian dasar antara ekonomi utama serta ketidaktentuan pasaran kewangan yang lebih ketara.

Dong He berkata dalam usaha ekonomi yang digerakkan ASEAN, peralihan ekonomi China kekal sebagai faktor utama, dengan perkembangan pesat teknologi hijau, kenderaan elektrik dan pembuatan termaju diimbangi oleh kelemahan yang dihadapi sektor hartanah dan pembinaan. 

-- BERNAMA