Penjawat Awam Main Peranan Pastikan Kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN - KPPA
PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Tugas menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bukan hanya terletak pada kepimpinan kerajaan semata-mata tetapi juga penjawat awam khususnya pasukan keselamatan dan agensi terlibat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata menjadi tanggungjawab seluruh perkhidmatan awam untuk berganding bahu bagi memastikan kelancaran sidang kemuncak itu yang akan berlangsung di ibu negara.
“Kejayaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bukan hanya bergantung pada kepimpinan politik negara semata-mata, tetapi juga ditanggung bersama seluruh penjawat awam yang menjadi tulang belakang pelaksanaan dasar, koordinasi logistik dan urusan protokol sepanjang tempoh kepengerusian,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas Program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T. anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun di ibu negara untuk membincangkan pelbagai isu menyentuh keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Wan Ahmad Dahlan berkata semangat kerjasama dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh penjawat awam di semua peringkat menjadi bukti bahawa jentera pentadbiran negara bersedia memikul tanggungjawab besar itu dengan penuh komitmen dan disiplin.
Beliau berkata segala persiapan telah diselaraskan dengan rapi oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kementerian serta jabatan lain yang memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran acara berprofil tinggi itu.
“Kita sudah bersedia untuk menerima tetamu-tetamu bermula pada 25 dan 26 Okt ini serta seterusnya. Persiapan pihak Kementerian Luar, PDRM dan pelbagai lagi pihak yang terlibat telah berada pada tahap maksimum,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN 2025 membawa aspirasi untuk memperkukuh perpaduan serantau, memacu agenda keamanan dan kemakmuran inklusif, selain menonjolkan keupayaan negara sebagai hab diplomasi dan pusat pertumbuhan ekonomi di rantau Asia Tenggara.
-- BERNAMA