SOM-SEOM ASEAN Secara Bersama Perkukuh Tonggak Politik-Keselamatan, Ekonomi Serantau

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa.
23/10/2025 08:34 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) dan Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi (SEOM) ASEAN yang diadakan secara bersama memberi peluang kepada rantau ini untuk memperkukuh penyelarasan antara tonggak politik-keselamatan dan ekonomi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa berkata mesyuarat bersama-sama pemimpin SOM dan SEOM itu diadakan pada masa yang penting berikutan ketidaktentuan yang berlaku dalam landskap perdagangan global terus menguji daya tahan ekonomi ASEAN.

“ASEAN menghadapi cabaran meliputi ketegangan geopolitik yang berpanjangan sehingga gangguan rantaian bekalan yang berterusan.

“Oleh yang demikian, kita ingin bekerjasama secara terbuka dan konstruktif, serta berharap pandangan daripada Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) boleh meningkatkan kestabilan dan daya tahan ekonomi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan di SOM-SEOM ASEAN Secara Bersama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Beliau mempengerusikan mesyuarat itu bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Luar merangkap Pemimpin SOM ASEAN Malaysia, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Mastura berkata ASEAN secara konsisten menunjukkan perpaduan yang kukuh, kerjasama pragmatik serta kejelasan matlamat dalam mengekalkan kestabilan serantau.

“Rantau ini membuktikan daya tahan dalam memelihara kestabilan serantau dan memastikan kepentingan rakyat serta komuniti perniagaan kekal menjadi keutamaan dalam kerjasama blok ini,” katanya.

SOM-SEOM ASEAN secara bersama diadakan hari ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di KLCC.

Sidang kemuncak ini menjadi antara mesyuarat terbesar dalam sejarah ASEAN, berperanan sebagai platform penting bagi memperkukuh kerjasama di samping menangani isu serantau dan global secara menyeluruh serta inklusif.

Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN bagi kali kelima untuk tahun ini sejak penubuhan perkumpulan itu pada 1967, selepas menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Filipina akan mengambil alih kepengerusian ASEAN dari Malaysia pada 2026.

Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN diunjurkan mencecah US$4.13 trilion pada 2024, menjadikannya sebagai blok ekonomi keempat terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, China dan Jerman.

ASEAN menaungi kira-kira 695.15 juta penduduk pada 2024, meningkat daripada 677.6 juta pada 2023.

Populasi ASEAN terus berkembang secara beransur-ansur, menjadikannya rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia.

-- BERNAMA