Sultan Brunei Tiba Di Malaysia Untuk Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
SUBANG, 24 Okt (Bernama) -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Pesawat khas yang membawa baginda serta delegasi Brunei termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang pada 6.30 petang, dan disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Baginda seterusnya berkenan memeriksa kawalan kehormatan dibarisi dua pegawai dan 34 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Kapten Ashraf Zulkifli.
Keberangkatan Sultan Hassanal Bolkiah ke sidang kemuncak itu menzahirkan komitmen teguh Brunei Darussalam dalam memperkukuh kerjasama serantau dan solidariti dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Tahun ini, Malaysia memegang Kepengerusian ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen negara dalam memupuk Komuniti ASEAN yang bersatu, berdaya tahan serta berpandangan jauh ke hadapan.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bakal menghimpunkan pemimpin daripada kesemua 10 negara anggota serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Afrika Selatan.
-- BERNAMA
