Perdana Menteri China Li Qiang Bakal Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri China Li Qiang bakal menghadiri Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-28 yang akan diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan, semasa lawatan dua hari beliau ke Malaysia mulai 27 Okt ini.
Menurut laman web rasmi Kementerian Luar China, lawatan Li adalah atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga akan menyaksikan beliau mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-28, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Mesyuarat Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima, kesemuanya dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Okt ini.
Ini merupakan lawatan kedua Li ke Malaysia tahun ini.
Pada Mei, beliau berada di Kuala Lumpur untuk Sidang Kemuncak ASEAN-China-GCC dari 26 hingga 28 Mei susulan jemputan Anwar atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN untuk 2025.
Sebelum ke Malaysia, Perdana Menteri China itu dijadualkan membuat lawatan dua hari ke Singapura pada 25 dan 26 Okt.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota dan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India, serta dijangka menjadi perhimpunan ASEAN terbesar sejak penubuhan blok itu pada 1967.
Pemimpin global yang dijangka hadir termasuk Presiden AS Donald Trump, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Tahun ini juga kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
