Malaysia Rakam Tahniah Kepada Kemboja Atas Kejayaan Muktamad KL Accord, TOR AOT

24/10/2025 09:53 PM

Oleh Samantha Tan dan Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada Kemboja atas kejayaan memuktamadkan Kuala Lumpur Accord dan terma rujukan (TOR) bagi Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), mekanisme penting untuk memantau dan mengekalkan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn memaklumkan Ketua Angkatan Pertahanan Kemboja dan Thailand dijadualkan mengadakan pertemuan esok untuk memulakan pelan secara berperingkat untuk menarik balik senjata berat dan memulihkan kawasan sempadan kepada keadaan sebelum konflik.

“Menteri Luar Kemboja menzahirkan harapan bahawa dengan pemuktamadan TOR, AOT dapat dikerahkan dengan segera bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya itu di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohamad berkata Sokhonn turut berharap agar Malaysia terus mengetuai AOT, walaupun selepas Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 berakhir.

“Walaupun perkara ini pada asasnya merupakan urusan dua hala antara Kemboja dan Thailand, Malaysia bersedia untuk memenuhi permintaan Kemboja,” katanya.

Mohamad berkata Sokhonn turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan selaku Pengerusi ASEAN, di samping menekankan rantau ini telah mencatat beberapa pencapaian bersejarah termasuk perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, penandatanganan perjanjian damai serta kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN.

Beliau berkata Sokhonn juga yakin Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini akan membuahkan hasil di bawah kepimpinan Malaysia.

Mengenai hubungan dua hala, Mohamad berkata Sokhonn menantikan penganjuran Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) kali ketiga.

“Kedua-dua pihak bersetuju agar Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat JCBC kali ketiga di Pulau Pinang pada 2026, pada tarikh yang akan dipersetujui bersama,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad dilaporkan Malaysia berharap TOR bagi penubuhan AOT dapat dimuktamadkan oleh Kemboja dan Thailand sebelum berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Beliau berkata selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia berharap pelaksanaan langkah terbabit dapat direalisasikan bagi memperkukuh peranan AOT di sepanjang sempadan kedua-dua negara itu.

Kemboja dan Thailand telah lama terlibat dalam pertikaian wilayah membabitkan kawasan sempadan yang belum ditandai secara rasmi sejauh 817 kilometer.

Ketegangan dan insiden pertempuran bersenjata pada 24 Julai lepas dihentikan pada 28 Julai susulan kedua-dua pihak mencapai persetujuan dalam mesyuarat khas dianjurkan Malaysia di Putrajaya.

-- BERNAMA