Infrastruktur Malaysia Dapat Pujian Global Selepas Video Konvoi Trump Jadi Tular
Oleh M. Saraswathi
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah berlepas dari Malaysia ke destinasi seterusnya tetapi sebuah video konvoi rombongan beliau yang melalui Lebuhraya Maju (MEX), bukan sahaja telah menarik perhatian global, malah mendapat pujian.
Video berdurasi 13 saat itu, yang dimuat naik di platform X oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi kepada Trump, Margo Martin, menunjukkan konvoi presiden itu bergerak dengan lancar di lebuh raya tiga lorong itu yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara.
Klip video itu dengan kapsyen, “President Trump’s motorcade through Malaysia en route to the ASEAN Summit,” telah meraih dua juta tontonan dan jumlahnya terus meningkat.
Malaysia merupakan destinasi pertama Trump dalam lawatan beliau ke Asia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan. Hari ini, beliau dalam perjalanan ke Jepun dan seterusnya ke Korea Selatan untuk menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di bandar pesisir pantai Gyeongju, minggu ini.
Video pendek oleh Margo itu tular di pelbagai platform media sosial dengan pengguna memuji infrastruktur lebuh raya Malaysia yang moden dan pemandangannya yang indah.
“Ini seperti babak pembukaan dalam filem Independence Day,” ulas Mike Kearney dari Pennsylvania, AS manakala Shubham Singh Gaur dari India secara bergurau pula menyatakan, “Konvoi itu kelihatan seperti dalam Fast & Furious: Presidential Drift.”
“Jika beliau menuju ke Kuala Lumpur dari lapangan terbang, beliau akan melalui banyak pokok kelapa sawit. Ia sungguh menarik apabila melihat terdapat banyak pokok kelapa sawit yang seperti hampir tiada penghujungnya!” ujar seorang lagi pengguna dari AS, Neesie.
Malaysia mempunyai infrastruktur jalan raya yang baik merupakan antara ulasan yang paling banyak diterima.
“Konvoi yang epik, pemandangan yang baik dan saya cintakan negara saya,” luah rakyat Malaysia dengan rasa bangga menerusi media sosial masing-masing.
Lebuhraya MEX, secara rasmi mula beroperasi pada 13 Dis 2007, merupakan lebuh raya sepanjang 26 kilometer dan menjadi laluan utama yang menghubungkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA.
Dibangunkan untuk aliran trafik yang lancar dan cekap, MEX terus menjadi laluan pilihan kepada pelancong yang berulang-alik antara destinasi utama ini.
Bagi kebanyakan pengguna di Lembah Klang, ia hanyalah satu lagi pemanduan harian biasa tetapi video Margo telah mengingatkan kita untuk terus menghargai keindahan di tempat sendiri.
Ia juga memberi rakyat Malaysia sebab untuk berasa bangga terhadap kemudahan jalan raya di negara ini.
-- BERNAMA
