Anwar Adakan Pertemuan Ringkas Dengan Trump 

Kredit: Facebook Anwar Ibrahim
27/10/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan ringkas dengan Donald Trump sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berlepas ke Tokyo, Jepun.

Anwar berkata pertemuan itu memberi peluang untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia–AS yang diadakan sebelum ini, termasuk kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.

“Saya turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Trump atas peranannya yang penting dalam Perjanjian Damai KL (KL Accord) dan Pelan Damai Gaza, yang kedua-duanya memberi sinar harapan bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Trump, yang tiba di Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, turut mengadakan beberapa mesyuarat bilateral dengan pemimpin serantau.

Presiden AS itu juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan selama beberapa dekad.

Sidang kemuncak anjuran Malaysia bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” itu menumpukan kepada usaha memperkukuh integrasi serantau, memperdalam kerjasama ekonomi serta menangani cabaran global, termasuk isu keamanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik.

Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

-- BERNAMA