Kemasukan Timor-Leste Sebagai Anggota ASEAN Ke-11 Tempa Sejarah - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 sebagai satu perkembangan yang sangat menarik serta penuh makna sentimental dan emosional bagi rakyat negara itu.
Beliau berkata Timor-Leste mempunyai sejarah panjang bersama rantau ini dengan pernah menjadi sebahagian daripada Indonesia dan sebelum itu berada di bawah penjajahan Portugis, sebelum mencapai kemerdekaan sepenuhnya pada 2002.
"Satu perkembangan yang sangat menarik ialah kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 yang sangat sentimental dan emosional bagi mereka kerana Timor-Leste ini sebahagian daripada Indonesia dulunya.
"Mereka berada di bawah penjajahan Portugal, kemudian bila merdeka bersama dengan Indonesia, tetapi apabila timbul beberapa masalah dalaman, mereka memilih untuk keluar dan merdeka pada 1999 (melalui referendum)," katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata sejak kemerdekaan, Timor-Leste bergelut untuk menjadi sebahagian daripada ASEAN dan proses berkenaan mengambil masa yang panjang kerana status ekonomi negara itu yang masih membangun.
"Dari asal ASEAN ditubuhkan, mereka (Timor-Leste) sebenarnya sudah sebahagian daripada rantau ini, tetapi bila keluar dari negara sendiri, mereka terpaksa melalui proses semula, terutama kerana negara itu relatifnya miskin," katanya.
Selaku Pengerusi ASEAN, Anwar menegaskan bahawa prinsip persahabatan dalam ASEAN tidak pernah ditentukan oleh kekayaan atau taraf ekonomi sesebuah negara.
"Saya tak kira sama ada kedudukan negara itu miskin atau kaya. Kita berkawan bukan kerana negara itu kaya tetapi kerana menghormati negara dan maruah rakyat dalam negara itu. Sama seperti dalam persahabatan kita, ada keluarga miskin, ada yang agak senang, takkan kita pilih yang kaya sahaja. Begitu juga dalam hubungan antara negara," kata beliau.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar yang bertungkus lumus sepanjang tahun ini untuk memastikan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN tercapai.
"Rakan-rakan kita di Kementerian Luar bertungkus lumus sepanjang tahun ini mencari jalan bagaimana Timor-Leste dapat keanggotaan penuh dalam ASEAN dan alhamdulillah tempa sejarah kerana kemasukan mereka (Timor-Leste)," katanya.
Timor-Leste secara rasmi menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11 pada Ahad.
Penyertaan itu yang merupakan perluasan pertama ASEAN dalam tempoh 26 tahun, dimuktamadkan melalui penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Perjalanan Timor-Leste ke arah keanggotaan penuh yang bermula dengan permohonan pada 2011, dipandu oleh prinsip saling menghormati dan perpaduan dalam kepelbagaian, serta disokong oleh kerjasama rapat dengan negara anggota dan rakan kerjasama.
-- BERNAMA
