Perjanjian Damai KL: Buka Laluan Kepada Kestabilan ASEAN, Perkukuh Semula Hubungan Ekonomi - Penganalisis

Penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Izzah Khairina Ibrahim Kredit: Izzah Khairina
10/11/2025 11:53 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kejayaan Perjanjian Damai KL antara Kemboja dan Thailand melambangkan langkah penting untuk keselamatan serantau dan mengukuhkan kembali hubungan ekonomi di Asia Tenggara.

Penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Izzah Khairina Ibrahim berkata perjanjian damai itu merupakan petunjuk yang menggalakkan bahawa mekanisme penyelesaian pertikaian yang dibina berasaskan norma dan amalan ASEAN masih boleh dilaksanakan.

“Impak segera daripada gencatan senjata, janji untuk mengurangkan ketegangan ketenteraan dan penempatan pasukan pemerhati ASEAN merupakan petunjuk positif ke arah tindakan susulan yang lebih menyeluruh tetapi impak jangka panjang masih belum dapat dilihat.

“Ini mengingatkan kita bahawa keazaman untuk melaksanakan perjanjian itu dengan niat baik amat penting untuk membina semula kepercayaan dan memulihkan hubungan,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menandatangani perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober lepas, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Di bawah perjanjian damai itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menamatkan pertelingkahan dan membina hubungan kejiranan yang baik antara satu sama lain.

Izzah Khairina menegaskan bahawa negara-negara anggota ASEAN perlu proaktif dalam mengadakan dialog antara satu sama lain untuk memberikan jaminan tambahan dan membina kepercayaan, terutamanya dalam kalangan generasi pemimpin baharu.

Selain aspek keselamatan, katanya perjanjian damai itu boleh memberi kesan ekonomi yang positif, terutamanya terhadap perdagangan sempadan antara kedua-dua negara.

“Penutupan (sempadan) yang berpanjangan menekankan kepentingan perdagangan melalui jalan darat untuk benua Asia Tenggara berikutan ia menjejaskan eksport dan mengganggu rantaian bekalan masing-masing.

“Ia turut menunjukkan bagaimana insentif ekonomi boleh dimanfaatkan untuk kerjasama. Perjanjian perdagangan AS dengan Kemboja dan perjanjian mineral kritikal dengan Thailand adalah berdasarkan andaian bahawa kedua-dua negara akan kekal aman.

“Ini juga menunjukkan kesukaran yang semakin meningkat untuk memisahkan perdagangan dan geopolitik pada masa ini serta kepentingan mempelbagaikan rakan kongsi bagi mengelak gangguan seterusnya,” katanya.

Thailand dan Kemboja telah lama terlibat dalam konflik mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Kira-kira 300,000 orang terpaksa berpindah di kedua-dua belah sempadan sejak ketegangan bermula.

-- BERNAMA