Menteri Korea Selatan Harap Asean Main Peranan Lebih Besar Dalam Keamanan Semenanjung Korea

Menteri Penyatuan Chung Dong-young (kanan) berjabat tangan dengan Duta Besar Thailand, Tanee Sangrat, semasa pertemuan mereka di Seoul pada 10 November 2025. (Yonhap)
10/11/2025 04:59 PM

SEOUL, 10 Nov (Bernama-Yonhap) -- Menteri Penyatuan Korea Selatan, Chung Dong-young bertemu Duta Thailand, Tanee Sangrat pada Isnin dan menyuarakan harapan agar ASEAN memainkan peranan lebih besar dalam memupuk keamanan di Semenanjung Korea, lapor Agensi Berita Yonhap.

“Saya menjangkakan ASEAN akan memainkan peranan lebih besar dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea, dengan Forum Serantau ASEAN (ARF) sebagai platform utamanya,” kata Chung kepada duta Thailand itu semasa pertemuan di pejabatnya di pusat bandar Seoul.

Bagi tempoh 2024 hingga 2027, Thailand berperanan sebagai penyelaras hubungan antara ASEAN dan Korea Selatan, selain menjadi tuan rumah kepada kedutaan Korea Utara terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Chung berkata, situasi keselamatan di Semenanjung Korea dan Timur Laut Asia memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada ASEAN.

Sementara itu, Sangrat menyuarakan harapan agar Korea Selatan dapat “memanfaatkan sepenuhnya ARF” yang turut dianggotai Korea Utara.

“Kami menegaskan semula komitmen dan sokongan Thailand kepada Republik Korea dalam misi bersama memupuk keamanan dan keselamatan di Semenanjung Korea,” katanya.

-- BERNAMA-YONHAP