Tengku Mahkota Kelantan Saran UMK Perkukuh Diplomasi Pendidikan Di Rantau ASEAN
BACHOK, 10 Nov (Bernama) -- Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra menyeru universiti itu agar memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh diplomasi pendidikan sejajar dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Baginda bertitah pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur membuktikan keupayaan negara memimpin rantau ini serta menonjol di peringkat global dalam konteks diplomasi antarabangsa.
“Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN dan termeterainya perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand telah membuktikan peranan strategik Malaysia sebagai negara penghubung antara dunia Timur dan Barat,” titah baginda pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UMK Ke-15 di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Tengku Muhammad Fakhry bertitah UMK perlu berperanan sebagai pemacu kepada diplomasi pendidikan dengan memperluas kolaborasi strategik dalam hal ehwal pendidikan tinggi di rantau ASEAN.
“UMK boleh meneroka peluang baharu di Timor-Leste selain memperkukuh hubungan sedia ada dengan negara anggota ASEAN lain.
"Pendekatan ini bukan sahaja memperluas jaringan akademik, tetapi turut memperkukuh kedudukan UMK sebagai institusi keusahawanan berdaya saing di peringkat serantau,” titah baginda.
Tengku Muhammad Fakhry turut menyarankan UMK melaksanakan inisiatif lebih strategik dan berimpak tinggi untuk meningkatkan keterlihatan universiti itu sebagai destinasi pengajian tinggi dalam bidang keusahawanan.
“Antara langkah yang boleh diambil ialah mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat kepada tokoh kepimpinan dari negara ASEAN sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan pengurusan UMK, graduan, pensyarah serta staf pentadbiran dan sokongan atas kejayaan menjayakan majlis konvokesyen berkenaan.
“Tidak dilupakan juga kepada ibu bapa yang telah berkorban dan menyumbang bakti terhadap kejayaan anak-anak mereka. Semoga segala jasa dan budi yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berkekalan,” titah baginda.
Tengku Muhammad Fakhry turut menyeru semua pihak sentiasa beriltizam untuk terus memartabatkan UMK sebagai sebuah universiti berteraskan keusahawanan melalui perancangan sistematik, pelan tindakan dan pelaksanaan strategi yang ampuh setelah hampir dua dekad penubuhannya.
“Beta sentiasa memantau setiap perkembangan, kemajuan serta pencapaian yang diraih UMK sama ada pada peringkat nasional mahupun antarabangsa sepanjang 2025.
“Semua pencapaian ini mencerminkan hasil kerja keras dan komitmen warga UMK secara keseluruhannya, tahniah beta ucapkan,” titah baginda.
Tengku Muhammad Fakhry bertitah setelah hampir dua dekad UMK beroperasi, universiti itu perlu menyemak semula falsafah sebagai universiti keusahawanan dengan mengambil kira pendekatan keusahawanan yang lebih manusiawi menerusi konsep keusahawanan humanistik berteraskan prinsip tauhidik di seluruh ekosistemnya.
“Beta difahamkan, UMK sedang menyediakan pelan strategik UMK30. Persoalannya, apakah pelan strategik yang baharu ini turut mempertimbangkan keperluan strategik pembangunan negeri ini secara holistik melalui pendekatan sinergi yang ampuh antara institusi.
“Dalam konteks kerjasama UMK dan kerajaan negeri, beta mengharapkan hubungan yang lebih kukuh dapat dijalinkan. Pendekatan saling bantu membantu antara UMK dan agensi di bawah kerajaan negeri harus dimantapkan bagi memberikan manfaat yang besar kepada kemajuan UMK serta pembangunan Kelantan," titah baginda.
-- BERNAMA
