Pertemuan Pemimpin ASEAN, EU Di Cebu Bincang Daya Tahan Ekonomi, Pertumbuhan Mampan
MANILA, 3 Mei (Bernama-PNA) – Pemimpin kerajaan dari Asia Tenggara dan eksekutif perniagaan Eropah akan berkumpul di Cebu pada 7 Mei untuk Sidang Kemuncak Kelestarian ASEAN-EU, menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-48.
Sidang Kemuncak ASEAN-EU bertujuan menangani daya tahan ekonomi dan pertumbuhan mampan ketika cabaran serantau yang berterusan, lapor The Philippine News Agency (PNA).
Acara itu juga julung kali diadakan ketika rantau ini berdepan tekanan yang kian meningkat, termasuk krisis tenaga dan tekanan ekonomi.
Lebih 200 wakil kerajaan, perniagaan, institusi pembangunan dan masyarakat sivil dijangka menghadiri acara anjuran Kesatuan Eropah (EU)-Majlis Perniagaan ASEAN (ABC) dan Dewan Perniagaan Eropah Filipina (ECCP) itu.
Sidang kemuncak berkenaan akan menampilkan perbincangan mengenai keutamaan kelestarian di bawah kepengerusian ASEAN Filipina, termasuk peralihan tenaga, kewangan hijau, pembangunan ekonomi kitaran, perdagangan mampan dan pertanian berdaya tahan iklim.
Antara peserta ialah Setiausaha Kewangan Filipina Frederick Go, Timbalan Menteri Indonesia Leonardo A. A. Teguh Sambodo, Duta EU ke Filipina Massimo Santoro an Naib Pengerusi Suruhanjaya Perubahan Iklim Robert E.A. Borje.
"Kami menghadapi pelbagai krisis serentak iaitu cabaran tenaga, ekonomi dan rantaian bekalan yang tidak dapat ditangani oleh satu pihak sahaja. ASEAN dan EU harus saling mempercayai untuk perkongsian jangka panjang yang dibina atas cita-cita bersama untuk pertumbuhan ekonomi mampan," kata Chris Humphrey, pengarah eksekutif EU-ABC.
"Majlis telah menekankan mesej yang sama dalam mesyuarat kami baru-baru ini dengan Suruhanjaya Eropah di Brussels, dan Sidang Kemuncak ini berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh dialog itu.
"Sidang kemuncak itu juga dilihat memacu kerjasama EU dan ASEAN ke arah hasil praktikal untuk pembangunan mampan rantau tersebut.
Paulo Duarte, presiden ECCP dan ahli Lembaga Eksekutif EU-ABC, berkata perkongsian ASEAN-EU telah berkembang dengan ketara namun "keutamaan sekarang ialah mengubah momentum itu menjadi kerjasama praktikal."
"EU telah menyalurkan sumber yang besar ke arah pembangunan mampan melalui Gerbang Global dan inisiatif lain - Sidang Kemuncak akan meneroka bagaimana ini boleh menyokong fasa kerjasama seterusnya," katanya.
Penyertaan sektor swasta juga akan diketengahkan, terutamanya dalam mengukuhkan rantaian bekalan dan amalan mampan.
-- BERNAMA-PNA
