Malaysia, Indonesia Terus Perkukuh Kerjasama Ketenteraan Dalam Kerangka ASEAN
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia terus mengekalkan hubungan erat melalui kerjasama ketenteraan serta komitmen bersama dalam kerangka ASEAN, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi hantaran Facebook, Mohamed Khaled berkata kedua-dua negara itu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan perairan strategik seperti Selat Melaka dan Laut Sulu di samping memperkukuh kawalan sempadan darat di Pulau Borneo termasuk wilayah Kalimantan.
“Kerjasama ini sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan serantau,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled menerima kunjungan hormat Duta Besar Indonesia ke Malaysia Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo di Wisma Pertahanan.
“Kunjungan sulung beliau sejak memulakan tugas rasmi di Kuala Lumpur membuka ruang kepada pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pertahanan antara dua negara,” katanya.
-- BERNAMA
