ASEAN Disaran Pelbagaikan Strategi, Perluas Kerjasama Tenaga - Ahli Akademik
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- ASEAN disaran supaya memikirkan semula strategi tenaganya susulan krisis Asia Barat, dengan memacu kepelbagaian dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang lebih dipercayai serta berdaya tahan untuk keselamatan tenaga jangka panjang.
Profesor Madya Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Jawaharlal Nehru (JNU), India, Dr Rahul Mishra berkata ASEAN perlu meningkatkan sifat berdikari dan lebih bergantung pada kuasa boleh diperbaharui, seperti (dilakukan oleh) wilayah lain, untuk bekalan tenaganya.
“Dan saya percaya ASEAN sudah pun berusaha ke arah itu, dan beberapa hasil dasar dalam mesyuarat di Filipina, mungkin (dalam) sidang kemuncak ASEAN di Filipina tahun ini,” katanya dalam rancangan World Bernama TV, Bernama pada Isnin.
Mishra, yang juga Felow Penyelidik Kanan, Universiti Thammasat, Thailand, berkata negara ASEAN harus lebih menumpukan perhatian pada kuasa pertengahan dan negara meningkat naik di Indo-Pasifik seperti Jepun, Australia dan India, manakala Turkiye dan Kesatuan Eropah muncul sebagai rakan kongsi tenaga penting bagi negara Asia Tenggara.
Menurut Mishra, perang Asia Barat telah mendedahkan kelemahan negara ASEAN terhadap kejutan luar terutamanya dalam rantaian bekalan global dan keselamatan tenaga.
“Kita semua menyaksikan ekonomi yang lebih kecil seperti Thailand dan Filipina sudah pun menghadapi masalah yang teruk. Malaysia, tidak begitu ketara, kerana ia mempunyai sekurang-kurangnya sara diri tenaga, tambahnya.
Konflik Asia Barat yang bermula dengan pelanggaran Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran diikuti serangan balas Tehran ke atas pangkalan AS di seluruh negara Teluk dan ketegangan di Selat Hormuz, telah menyebabkan bekalan minyak terjejas sekali gus mencetuskan kejutan tenaga global.
Situasi masih tegang, walaupun gencatan senjata, dengan Pakistan sebagai perantara, telah berkuat kuasa sejak 8 April, kerana AS dan Iran belum mencapai persetujuan mengenai isu utama untuk menamatkan perang.
-- BERNAMA
