Konflik Asia Barat Dominasi Mesyuarat Menteri Luar ASEAN Di Cebu

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro
07/05/2026 05:32 PM

Daripada Linda Khoo

CEBU, 7 Mei (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berhimpun di Cebu pada Khamis, menumpukan perbincangan terhadap konflik di Asia Barat serta kesan limpahannya terhadap keselamatan tenaga, bekalan makanan dan ekonomi serantau.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro mempengerusikan mesyuarat itu, yang bertindak sebagai satu sesi persediaan utama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 pada Jumaat.

Dalam ucapan pembukaannya, beliau memberi amaran bahawa krisis berkenaan telah mendedahkan kerentanan ASEAN terhadap kejutan global serta menjejaskan keselamatan tenaga serantau.

Beliau berkata konflik itu telah mengganggu aliran tenaga, laluan perdagangan dan rantaian bekalan makanan, selain meletakkan jutaan rakyat negara ASEAN di Timur Tengah dalam risiko, sekali gus menekankan keperluan mendesak bagi penyelarasan krisis serantau dan kesiapsiagaan institusi yang lebih kukuh.

"Bagi ASEAN yang mengimport kira-kira 66 peratus minyak mentah, krisis ini telah mengakibatkan kenaikan ketara kos bahan api dan tenaga, yang akhirnya melonjakkan harga makanan, input pertanian serta komoditi asas.

"Krisis ini juga mengganggu beberapa sektor termasuk pengangkutan dan pelancongan, selain meletakkan jutaan rakyat negara ASEAN di Asia Barat dalam bahaya," katanya.

Biarpun banyak cabaran dihadapi,  Lazaro berkata ASEAN tetap komited untuk memajukan keutamaan jangka panjang serantau di bawah tema Pengerusi Filipina, "Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama", termasuk proses integrasi Timor-Leste, hubungan luar ASEAN dan usaha melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) ke atas Myanmar.

Sementara itu, Lazaro yang memegang peranan sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN turut memberi taklimat kepada rakan sejawatnya mengenai perkembangan terkini di Myanmar.

Taklimat beliau merangkumi situasi politik dan kemanusiaan yang sedang berkembang di lapangan, serta usaha melaksanakan 5PC ASEAN selaras dengan keputusan yang dicapai oleh pemimpin ASEAN pada 2025.

Mesyuarat itu mengesahkan semula komitmen ASEAN untuk kekal bersatu, berdaya tahan dan berpandangan jauh di tengah-tengah ketidaktentuan global yang meningkat, termasuk krisis yang semakin meruncing di Asia Barat serta kesan rantaiannya di seluruh Asia Tenggara.

Dalam kenyataannya, Lazaro menyeru rakan-rakan menteri agar kekal teguh dan mengekalkan momentum terhadap agenda serantau bersama ASEAN.

Menurut Sekretariat Media Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan, AMM berfungsi sebagai sesi persediaan utama dengan menteri-menteri menyemak kemajuan inisiatif pembangunan Komuniti ASEAN.

Perbincangan itu turut merangkumi persediaan bagi aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) yang dijadualkan pada Julai 2026, serta integrasi berterusan Timor-Leste susulan penyertaannya secara rasmi ke dalam ASEAN.

-- BERNAMA