Singapura Pacu Kerjasama Perkukuh Perdagangan, Rantaian Bekalan ASEAN

07/05/2026 09:00 PM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 7 Mei (Bernama) -- Singapura giat bekerjasama dengan kalangan negara ASEAN lain untuk memperkasakan rantau ini dengan rantaian bekalan yang berdaya tahan, di samping mengembangkan ekonomi digital dan hijau, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.

Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura berkata republik itu akan terus memantau rapat perkembangan global serta kekal sebagai rakan yang konstruktif dalam memajukan keutamaan integrasi serantau.

“Kami komited untuk memperkukuh kerjasama dalam ASEAN bagi memastikan rantau ini mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang dipercayai, terhubung dan terbuka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-27 hari ini di  Cebu, Filipina yang dipengerusikan oleh Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina, Ma. Cristina Aldeguer-Roque.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura, mesyuarat itu mengesahkan semula komitmen untuk mempertahankan perdagangan yang terbuka dan rantaian bekalan yang berdaya tahan susulan situasi di Asia Barat.

“Mereka meneruskan cadangan untuk mengatasi implikasi ekonomi, hasil daripada Mesyuarat Khas AECC pada 30 April, termasuk meneliti langkah seterusnya untuk mempercepat pelaksanaan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dalam tahun ini jika berkemungkinan.

“Ini akan membolehkan negara anggota ASEAN melaksanakan kerjasama yang relevan dan komitmen berkaitan krisis dalam keadaan konflik yang sedang berlaku,” katanya.

MTI menjelaskan semasa Mesyuarat AECC ke-27 itu, para menteri turut membincangkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang masih berada di landasan untuk dimuktamadkan dan ditandatangani tahun ini.

Mesyuarat itu juga menetapkan langkah seterusnya dalam memajukan inisiatif utama keneutralan karbon, termasuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai kemungkinan Rangka Kerja Ekonomi Hijau ASEAN (GEFA) berasaskan peraturan yang menyasar untuk memanfaatkan peluang dalam ekonomi hijau.

“Kalangan menteri turut mencapai kemajuan bagi Grid Tenaga ASEAN (APG), termasuk menggesa ASEAN mempercepat pembangunan rangka kerja berkaitan kabel tenaga bawah laut yang penting bagi import tenaga,” tambah kementerian itu.

-- BERNAMA