Syarikat Pemula Niaga Malaysia Sasar Pasaran ASEAN Lebih Luas
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 7 Mei (Bernama) -- Pengembangan melangkaui sempadan domestik sering kali datang dengan cabaran bagi kebanyakan syarikat baharu Malaysia, antaranya ialah rangkaian serantau yang terhad, peraturan tidak difahami dan kesukaran untuk mengakses pelabur di luar Malaysia.
Dalam menangani cabaran tersebut, landskap syarikat baharu Malaysia telah lama disokong oleh pelbagai agensi berkaitan kerajaan dan pembangun ekosistem, termasuk MRANTI, MDEC, PERNAS, SME Corp dan inisiatif keusahawanan lain bertujuan untuk membantu syarikat baharu tempatan berkembang melangkaui pasaran domestik.
Program diterajui sektor swasta kini menambah satu lagi lapisan ketersambungan serantau, terutamanya melalui libat urus secara langsung dengan pasaran jiran seperti Indonesia.
Peluang itu telah dikemukakan semasa program keusahawanan serantau, “Innovate for Impact Jakarta 2026” anjuran Satu Creative, sebuah organisasi inovasi dan impak beribu pejabat di Malaysia, ia berdedikasi untuk memperkasakan usahawan dan profesional di seluruh ASEAN.
Program itu membawa beberapa syarikat baharu Malaysia untuk mengutarakan idea mereka kepada bakal pelabur dan penggiat ekosistem di Indonesia.
Indonesia mempunyai populasi lebih daripada 280 juta orang dan salah satu ekonomi digital paling pesat berkembang di rantau ini, semakin menjadi destinasi menarik bagi syarikat baharu Malaysia yang mencari pasaran pengguna dan peluang pelaburan lebih besar.
Rintis libat urus rentas sempadan
Ketua Pegawai Eksekutif Satu Creative, Ahmad Azuar Zainuddin ketika ditemui Bernama berkata banyak syarikat baharu berminat untuk memasuki Indonesia tetapi sering menghadapi kesukaran untuk mengemudi pasaran dan mewujudkan hubungan yang betul.
“Indonesia mewakili peluang besar untuk syarikat baharu Malaysia, bagaimapun kemasukan pasaran bukan sekadar mengenai cita-cita. Ia memerlukan konteks, hubungan dan kepercayaan.
“Menerusi program ini, kami ingin membantu syarikat baharu beralih daripada melihat peluang kepada benar-benar memahami pasaran, bertemu dengan orang yang sesuai dan membina keyakinan untuk berkembang merentasi sempadan,” katanya.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Garuda Spark Innovation Hub, satu inisiatif oleh Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia (KomDigi), bertujuan menghubungkan syarikat baharu dengan pelabur, pembangun ekosistem dan perniagaan yang sudah beroperasi merentasi sempadan, pada masa sama membantu usahawan lebih memahami peluang terdapat di Indonesia.
Antara pelabur yang hadir ialah wakil daripada firma modal teroka serantau termasuk Gobi Partners serta pemain ekosistem lain dari kedua-dua negara.
Acara itu juga menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Satu Creative dan KomDigi Indonesia untuk memperkukuh kerjasama dalam membangunkan ekosistem syarikat baharu, pembinaan kapasiti dan akses pasaran antara Malaysia dan Indonesia.
Daripada peluang kepada kemasukan pasaran
Salah satu syarikat baharu yang mengambil bahagian adalah iLuvQuran, platform pendidikan Islam Malaysia, secara beransur-ansur meneroka peluang di Indonesia sejak beberapa tahun lepas.
Ketua Pegawai Pemasaran iLuvQuran, Ezri Nor Syafren berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem pendidikan al-Quran holistik melalui modul pendidikan, kelas dalam talian dan secara fizikal, aplikasi permainan, e-buku dan program latihan untuk ibu bapa.
Beliau berkata iLuvQuran mula menerima minat daripada bakal rakan kongsi di Indonesia sekitar tahun 2018, dan daripada pelabur yang mula mengenali platform tersebut di Malaysia.
“Pengembangan di peringkat antarabangsa bukanlah mudah. Kami mula meneroka pasaran Indonesia pada 2018 dan mula aktif berusaha untuk mengumpulkan maklumat dan memahami persekitaran setempat sejak dua tahun lepas. Syarikat kami hanya mula mencuba penembusan pasaran di Indonesia secara serius tahun ini termasuk menerusi usaha sama dibentuk dengan sebuah syarikat Indonesia ketika bulan Ramadan lalu,” katanya.
Ezri berkata ekosistem syarikat baharu Malaysia telah mendapat manfaat daripada sokongan daripada pembangun ekosistem berkaitan kerajaan dan swasta, manakala inisiatif swasta seperti Satu Creative membantu menyediakan syarikat baharu dengan pendedahan serantau secara terus dan peluang perniagaan rentas sempadan.
Pendedahan serantau sebagai satu keperluan
Bagi kebanyakan syarikat baharu, pendedahan serantau semakin menjadi satu keperluan dan bukannya cita-cita, memandangkan pelabur semakin menekankan potensi pengembangan rentas sempadan dalam ekonomi ASEAN yang saling berkaitan.
Ahmad Azuar berkata syarikat baharu yang disokong melalui program pembangunan keusahawanan di Malaysia biasanya dinilai berdasarkan pertumbuhan pendapatan, penciptaan pekerjaan dan keupayaan mereka untuk mendapatkan pembiayaan susulan.
Beliau berkata kira-kira 80 peratus syarikat baharu yang mengambil bahagian telah berjaya mendapatkan pembiayaan tambahan daripada agensi kerajaan, syarikat atau pelabur selepas melengkapkan program sedemikian dan pengembangan serantau boleh menjadi penanda aras utama seterusnya untuk mencipta kejayaan bagi syarikat pemula niaga.
“Melangkah ke depan, kami ingin melihat lebih banyak syarikat baharu bukan sahaja berkembang di Malaysia dan Indonesia tetapi juga mula bekerjasama dan berkembang di seluruh ASEAN.
“Di situlah impaknya menjadi lebih besar kerana syarikat baharu mampu mencipta nilai dan peluang di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata program di Jakarta menandakan kerjasama kedua melibatkan kementerian di Indonesia yang sama dengan Satu Creative merancang libat urus serupa di bandar-bandar Asia Tenggara lain termasuk Bangkok pada akhir tahun ini.
Ahmad Azuar berkata program masa depan dijangka diadakan dengan lebih kerap di bandar utama dan pusat ekonomi di Indonesia, manakala visi jangka panjang akhirnya boleh melangkaui syarikat baharu Malaysia sahaja.
Beliau berkata organisasi itu terbuka untuk menghimpunkan syarikat baharu dari ASEAN di bawah program serantau lebih luas, mencerminkan aspirasi yang semakin meningkat untuk meletakkan Asia Tenggara sebagai ekosistem syarikat baharu lebih berintegrasi.
-- BERNAMA
