Sengketa Sempadan: Kemboja, Thailand Capai "Beberapa Persetujuan" Dalam Rundingan - Marcos
Daripada Linda Khoo & Kenny Teng
CEBU/BANGKOK, 7 Mei (Bernama) – Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. memaklumkan bahawa Kemboja dan Thailand telah memperbaharui usaha untuk meredakan ketegangan sempadan, dengan "beberapa persetujuan" dicapai antara kedua-dua negara berkenaan.
Bercakap kepada media selepas mesyuarat tiga hala bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-48, Marcos berkata kedua-dua pihak mengesahkan semula kepentingan menahan diri dan mengadakan dialog membina bagi menyelesaikan isu berkenaan secara aman.
“Dalam mesyuarat ini, banyak perkara telah dibincangkan, beberapa persetujuan dicapai, dan langkah-langkah ke hadapan telah diperincikan.
“Terdapat perbincangan jujur mengenai situasi sempadan antara Kemboja dan Thailand. Saya percaya perkara ini dapat dilaksanakan kerana kepercayaan yang sangat jelas dan bersungguh-sungguh oleh kedua-dua pemimpin bahawa ini adalah masa untuk keamanan dan bukan lagi masa untuk berperang,” katanya.
Marcos berkata kedua-dua perdana menteri telah bersetuju untuk menugaskan menteri luar masing-masing bagi mengekalkan dialog yang terbuka dan jujur, termasuk membincangkan pendekatan membina bagi mengelakkan ketegangan dan menjaga keamanan serta kestabilan.
Beliau berkata mesyuarat itu juga mengesahkan semula peranan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) dalam memantau serta melaporkan pelaksanaan perjanjian yang dicapai oleh kedua-dua pihak.
“Kami mengalu-alukan pelanjutan mandat AOT untuk tempoh tiga bulan lagi sehingga Julai tahun ini,” katanya.
Marcos berkata Filipina kekal komited untuk memenuhi peranannya sebagai penyelaras AOT dan akan terus menawarkan khidmat rundingan bagi menyokong dialog serta kerjasama berterusan antara Kemboja dan Thailand.
Sementara itu, Hun Manet mengesahkan semula komitmen Kemboja terhadap penyelesaian pertikaian secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa dan perjanjian sedia ada, termasuk komitmen yang digariskan dalam Deklarasi Bersama Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025.
Beliau turut menyatakan penghargaan atas peranan AOT dan berterima kasih kepada negara anggota ASEAN atas sokongan serta sumbangan berterusan, selain mengalu-alukan pengambilalihan kepimpinan pasukan itu oleh Filipina dari Malaysia.
Manet berkata Kemboja kekal komited untuk memberikan kerjasama penuh bagi memperkukuh peranan AOT.
“Kemboja percaya ini adalah jalan damai ke arah penyelesaian yang adil bagi kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang media berkenaan.
Di BANGKOK, jurucakap Kerajaan Thailand Ratchada Thanadirek berkata Anutin telah mengesahkan kesediaan Thailand untuk bekerjasama secara membina dengan semua pihak berdasarkan persefahaman, rasa hormat dan kepentingan bersama.
Beliau berkata Perdana Menteri menyifatkan mesyuarat itu sebagai "langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk keamanan dan kerjasama serantau".
“Perbincangan bertumpu kepada situasi Thailand-Kemboja dan ia bersifat membina, jujur serta berpandangan ke hadapan, dengan kedua-dua pihak mengesahkan semula komitmen mereka terhadap dialog dan keamanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Anutin turut menyeru agar komunikasi lebih langsung di semua peringkat antara kedua-dua negara dipertingkatkan bagi merapatkan jurang persefahaman dan meneroka kerjasama lebih luas dalam bidang yang memberikan manfaat bersama.
-- BERNAMA
