ASEAN Masih Belum Sedia Terima Pemimpin Myanmar Di Sidang Kemuncak, Mesyuarat - Mohamad

CEBU (Filipina), 7 Mei -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui pengamal media Malaysia semasa hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
07/05/2026 11:27 PM

Daripada Linda Khoo

CEBU, 7 Mei (Bernama) – ASEAN masih belum bersedia menerima pemimpin Myanmar untuk menghadiri sidang kemuncak dan mesyuarat-mesyuarat rasmi blok itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata terdapat permohonan daripada Myanmar supaya pemimpin politik negara itu dibenarkan menghadiri mesyuarat ASEAN, namun perkara itu belum dipersetujui oleh menteri-menteri luar ASEAN.

“Pada peringkat ini, kita masih belum bersedia untuk menerima permohonan mereka.

“Namun, kita akan terus mengadakan libat urus supaya mereka terus berhubung dan saluran komunikasi kekal terbuka agar kita dapat melihat perkembangan yang berlaku di negara tersebut,” katanya kepada media Malaysia pada Khamis.

Terdahulu, Mohamad telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang dipengerusikan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro.

ASEAN melarang pemimpin tertinggi Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncaknya sejak tentera menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada Februari 2021, dan hanya membenarkan wakil bukan politik menghadiri mesyuarat peringkat tinggi.

Beliau berkata Mesyuarat AMM juga mengambil maklum mengenai Pilihan Raya Umum Myanmar yang berlangsung pada Januari lepas dan masih meneliti keputusan serta keadaan yang masih berlaku.

Mohamad berkata  ASEAN masih “kurang senang” dengan keadaan di Myanmar kerana masih berlakunya penindasan serta kesukaran menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang memerlukan.

“Kita merasa kesal keadaan ini masih berlaku dan kita mahu kerajaan yang baru ditubuhkan selepas pilihan raya di Myanmar ini benar-benar mengikut (syarat) dalam Konsensus Lima Perkara (5PC).

Kalau itu dapat mereka lakukan maka barulah kita melihat keabsahan kerajaan negara Myanmar pada mesyuarat akan datang,” katanya.

Beliau berkata perkara-perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada mesyuarat-mesyuarat ketua-ketua kerajaan pada Jumaat.

Pilihan raya Myanmar yang dijalankan dalam keadaan ketidakstabilan politik yang berterusan menyaksikan parti pro-tentera memperoleh kemenangan, sekali gus membawa kepada pemilihan bekas pemimpin tentera Min Aung Hlaing sebagai Presiden pada April.

-- BERNAMA