Malaysia Komited Perluas Kerjasama Ekonomi Melalui BIMP–EAGA - PM Anwar
Daripada Linda Khoo Hui Li
CEBU, 7 Mei (Bernama) -- Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau menerusi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP–EAGA), bagi merapatkan jurang pembangunan serta memperluas perdagangan, pelaburan dan keterjaminan makanan demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu, Filipina hari ini berkata BIMP-EAGA merupakan satu wahana strategik dan Visi BIMP-EAGA 2035, mesti dipacu dengan semangat kebersamaan, tatakelola yang mampan serta iltizam untuk memastikan wilayah-wilayah terpencil dan kurang membangun tidak terus tercicir daripada arus pembangunan.
“Tatkala dunia berhadapan cabaran krisis bekalan tenaga, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global, rantau ini harus tampil dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan berani.
“Justeru, Malaysia mendukung pengukuhan keterhubungan tenaga rentas sempadan, pelaburan dalam tenaga boleh baharu serta penyelesaian lestari seperti solar dan grid-mini, agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan inklusif oleh seluruh rakyat, termasuk komuniti di kawasan pedalaman,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook hari ini.
BIMP-EAGA, yang merujuk kepada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina, ditubuhkan pada 1994 dengan matlamat mempercepat pertumbuhan ekonomi inklusif, pembangunan dan kemakmuran di kawasan kurang membangun dalam negara anggotanya.
Anwar berkata Visi BIMP-EAGA 2035 bukan sekadar dokumen dasar, tetapi cerminan tekad bersama untuk membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan manusiawi.
“Dengan semangat ASEAN yang terus menyala, kita akan terus menyokong agenda pembangunan yang memuliakan insan, memperkasakan masyarakat setempat dan menyemarak masa depan yang lebih sejahtera buat generasi mendatang,” katanya.
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr selaku Pengerusi ASEAN tahun ini berkata perbincangan pada sidang kemuncak tersebut, menampilkan program dan projek utama yang kini memberi impak besar kepada komuniti tempatan menerusi penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan hubungan jaringan serta peluasan peluang, khususnya di kawasan pertumbuhan subwilayah.
Marcos berkata sidang kemuncak itu memperbaharu tekad kita untuk menterjemahkan visi kepada tindakan dan perancangan kepada impak berkekalan.
-- BERNAMA
